KUALA LUMPUR – Dua NGO berkaitan pendidikan memfailkan writ saman dan penyata tuntutan di Mahkamah Tinggi di sini semalam, untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa kewujudan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SRJK) bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) turut menamakan Menteri Pendidikan dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Menurut peguam NGO berkenaan, Tetuan Amelda Fuad Abi dan Aidil, writ saman dan penyata tuntutan itu difailkan pada jam 5.39 petang semalam.

Katanya, kewujudan sekolah vernakular itu bercanggah dengan kedudukan bahasa Kebangsaan di bawah Fasal 152(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Pemfailan saman ini adalah susulan dari keputusan Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada 11 November lalu yang telah menolak permohonan peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz bagi mencabar keabsahan kewujudan SRJKC/T di Malaysia.

“Mahkamah memberi alasan permohonan itu sepatutnya difailkan di Mahkamah Tinggi, bukan di Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Justeru, jelas peguam itu, atas keputusan Mahkamah Persekutuan itu, GPMS dan MAPPIM telah mengambil inisiatif bagi memfailkan tindakan di Mahkamah Tinggi.

Ini katanya, supaya persoalan penting mengenai keabsahan kewujudan sekolah aliran vernakular adalah sah atau tidak di sisi Perlembagaan Persekutuan dapat diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Perkara yang dimohon GPMS dan MAPPIM adalah untuk perintah-perintah antara lainnya, (a) suatu pengisytiharan bahawa Seksyen 2, 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) setakat mana peruntukan-peruntukan itu membenarkan penubuhan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil yang menjalankan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar masing-masing adalah bercanggah dengan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan dan oleh yang demikian adalah tidak sah dan terbatal setakat percanggahan itu.

(b) suatu pengisytiharan bahawa kewujudan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil telah secara lanjutannya turut menyebabkan satu keadaan yang bercanggah dengan Perkara 5 (hak terhadap kehidupan yang bermaruah), Perkara 8 (hak kesaksamaan), Perkara 10 (hak berekspresi), Perkara 11 (kebebasan beragama), dan Perkara 12 (hak terhadap pendidikan).

(c) suatu perintah bahawa Menteri Pendidikan dan kerajaan Malaysia hendaklah mengambil segala langkah yang perlu bagi memastikan bahawa kewujudan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil yang sedia ada di Malaysia hendaklah diselarikan dengan peruntukan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan, dalam tempoh enam tahun daripada tarikh Mahkamah memberikan penghakiman.

Sehubungan itu, kata peguam, GPMS dan MAPPIM telah mengarahkan mereka untuk melantik peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla sebagai kaunsel utama bagi mewakili NGO berkenaan ketika perbicaraan di mahkamah nanti.

“GPMS dan MAPPIM pada masa sama menyokong usaha peningkatan penguasaan bahasa ketiga, sama ada Mandarin, Tamil, Arab, Kadazan atau mana-mana sahaja bahasa lain di dunia termasuk Jepun dan Korea melalui pengajaran dan pembelajaran sebagai satu mata pelajaran.

“Tetapi menolak mana-mana bahasa asing itu daripada dijadikan bahasa pengantar utama di mana-mana institusi pendidikan awam yang menerima dana awam, kerana ia bercanggah dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan yang mesti digunakan untuk semua tujuan rasmi,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.