KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Khas Kewangan Islam (JKKI) bersepakat mahu pembentukan rangka kerja ekonomi Islam akan mengambil kira beberapa pelan jangka panjang negara.
Rangka kerja juga perlu bersifat holistik melalui penerapan nilai ekonomi Islam dalam pembangunan negara secara lebih menyeluruh dan mencakupi setiap aktiviti dan rantaian ekonomi.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, bagi tujuan penyediaan rangka kerja ekonomi Islam, JKKI akan mengambil pendekatan yang pragmatik dan turut mendokong matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).
JKK1 diberikan mandat untuk mempromosi dan menggalakkan pembangunan kewangan Islam akan terus diperkukuh dan ditambah baik selaras dengan tambahan mandat baharu yang telah diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2020 lalu.
Semasa pembentangan tersebut, kerajaan berhasrat supaya satu rangka kerja ekonomi Islam dapat disediakan oleh JKKI, di samping meneruskan program-program outreach kepada masyarakat bagi meningkatkan keterlihatan mengenai kepentingan dan manfaat kewangan Islam kepada setiap segmen masyarakat.
Amiruddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Kewangan Islam (JKKI) berkata, untuk memastikan matlamat utama WKB2030 iaitu menyediakan taraf hidup wajar kepada semua rakyat melalui penstrukturan semula ekonomi, menangani ketidaksamaan dan membina semula negara dapat dicapai.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Kewangan Islam (JKKI) berkata, JKKI akan menjalinkan kerjasama erat dengan agensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta pelbagai pihak berkepentingan yang lain bagi memastikan rangka kerja ini kelak dapat menyerlahkan kekuatan sedia ada negara dalam kewangan Islam. – MalaysiaGazette