Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen (dua kiri) bersama ketua setiausahanya, Datuk Muez Abdul Aziz (dua kanan) serta yang lain bergambar sambil menunjukkan tanda harga barang kawalan pada sidang media khas mengenai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2019 di Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 19 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Buat pertama kalinya, skim harga maksimum musim perayaan Krismas akan dilanjutkan selama 10 hari berbanding lima hari sebelum ini.

Menurut Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Chong Chieng Jen, tiga lagi barangan baru juga dimasukkan dalam senarai berbanding 16 barangan bagi pelaksanaan skim ini tahun lalu.

“KPDNHEP telah mengenal pasti sebanyak 19 jenis barang untuk pelaksanaan SHMMP Krismas 2019 berbanding 16 jenis barangan sebelum ini.

“Pertambahan barangan melibatkan cili merah, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing) dan import ubi kentang (China).

“Kategori barang harga terkawal terdiri daripada ayam, ayam telur, sayuran, daging kambing dan daging babi,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen bercakap pada sidang media khas mengenai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2019 di Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 19 DISEMBER 2019.

Antara senarai barangan yang dikawal untuk Krismas kali ini adalah RM5.80 bagi satu kilogram ayam hidup, ayam standard RM7.30 sekilogram, ayam super RM8.10 sekilogram, ayam tua hidup, ayam belanda import RM28 sekilogram, kepak ayam, daging kambing tempatan bertulang RM47 sekilogram, daging kambing import bertulang atau biri-biri import bertulang RM26 sekilogram, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

Juga telur gred A RM0.40 sebiji, gred B RM0.39 sebiji, gred C RM0.38 sebiji, ubi kentang import daripada China RM3.00 sekilogram, kubis bulat import daripada Indonesia dan China RM3.00 sekilogram, cili merah RM13 sekilogram, tomato RM4.30 sekilogram dan lada beggala hijau RM10 sekilogram.

Tambah Chieng Jen, pemantauan harga adalah ditetapkan daripada pemantauan harga barangan itu di semua daerah sepanjang tahun 2018 dan Januari hingga Disember 2019.

“Penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak,” katanya lagi.

Sekiranya didapati bersalah menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum, peniaga boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau keduanya.

Malah peniaga yang bersalah juga boleh dikompaun sehigga RM250,000.

Bagi peniaga yang didapati gagal meletakan tanda harga berwarna merah jambu mereka boleh didenda sehingga RM10,000 dan kompaun sehingga RM5,000. -MalaysiaGazette