Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang rendah tahun ini dan dalam sejarah jelas membukti keadaan ekonomi negara amat teruk.

Pelabur dan pakar-pakar ekonomi mengatakan bahawa ekonomi negara sedang dan telah merudum.

Keadaan ini mungkin akan menjadi lebih teruk berbanding krisis ekonomi pada tahun 1997-1999 dan 2008-2009 dahulu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyatakan bahawa ketidaktentuan keadaan ekonomi dunia dan kejatuhan pasaran saham tempatan adalah punca agihan pendapatan ASB yang rendah ini.

“Apa yang beliau tidak beritahu kepada umum ialah, kejatuhan ekonomi negara dan prestasi pasaran saham yang buruk ini adalah disebabkan oleh kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam mentadbir dan mengurus ekonomi negara.

“Gagal kerana ketidakcekapan menteri-menterinya, serta ketidakstabilan politik negara kerana perebutan kuasa dalam kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad menambah, sejak tahun 1990, kadar purata dividen dan bonus ASB adalah 10.06 peratus.

Pada tahun 1997-1999, walaupun negara menghadapi krisis ekonomi paling buruk dalam sejarah, dividen dan bonus ASB adalah melebihi 10 peratus iaitu dua kali ganda lebih tinggi daripada tahun ini.

Pada tahun 2008-2009, ketika ekonomi dunia tidak menentu akibat krisis ekonomi sub-prima di Amerika Syarikat yang memberi kesan buruk di seluruh dunia, dividen dan bonus ASB masih kekal tinggi di atas 8 peratus.

Menurut Mohamad lagi, Malaysia sedang menghadapi krisis keyakinan masyarakat kewangan antarabangsa.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan PH mesti fokus dalam menangani masalah ekonomi negara yang teruk ini, demi untuk kesejahteraan rakyat.

“… dan bukan hanya galak berebut kuasa, sehingga tanggungjawab kepada rakyat terus terabai,” ujarnya. – MalaysiaGazette