Datuk Azih Muda
Mantan Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda (kiri) menyampaikan ucapan penggulungan diiringi Presiden CUEPACS yang baru, Adnan Mat (kanan) pada Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS ke 28 sesi 2019-2022 di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 19 DISEMBER 2019

SHAH ALAM – Walaupun presiden baharu Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat tidak berupaya menandingi rekod pemilihan sebelum ini sebanyak 1,059 kerana sekadar memperoleh 676 undi, namun perwakilan badan itu diingatkan agar tidak berpuak-puak.

Bekas Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda menegaskan, meskipun undi yang diperolehi Adnan di bawah 700 undi namun tidak bermakna perwakilan badan itu menolaknya, sebaliknya kerana faktor calon terlalu ramai pada pemilihan kali ini.

“Kita ada pengundian 1,059, Adnan Mat dapat kurang 700 tetapi majoriti dalam kalangan mereka bertanding.

“Bermakna 600 lebih atau lebih separuh di mana undinya berpecah, bukan tidak menyokong tetapi dia sokong calon yang lain, terlalu banyak calon dan mungkin di luar sana melihat seolah-olah kita ini tiada perpaduan.

“Saya harapkan perwakilan supaya mereka ini umpama pepatah, biduk lalu kiambang bertaut, walau apa pun pertandingan, hati kita kembali kepada saf perjuangan kita,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS  ke-28 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Azih juga mengingatkan perwakilan  CUEPACS agar tidak mengikut jejak langkah Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang wujud dua kumpulan tertentu hingga menghalang perjalanan kongres badan itu.

“Kita tidak mengatakan bahawa MTUC tidak bagus, tapi MTUC dalam tempoh yang panjang tak dapat mengadakan majlis am mereka, sudah tiga tahun tidak bermesyuarat, sepatutnya MTUC bersidang sama dengan kita.

“Kita tak nak di sektor kerajaan ini ada perasaan tidak percaya mempercayai di antara satu sama lain, tidak ada kem, pada saya kita hanya ada satu pasukan saja, pasukan untuk pekerja,” katanya.

Walaupun hari ini merupakan hari terakhir beliau menerajui CUEPACS, namun  Azih mengakui masih ada agenda belum selesai dan ia diwariskan kepada kepimpinan baharu badan itu.

Menurut Azih, antara isu tertunggah iaitu perjuangan CUEPACS  mendesak kerajaan mengkaji semula sistem saraan penjawat awam dan gaji minimum selaras dengan merit akademik dan pengalaman.

“Kita wariskan kepada presiden baru, di mana isu sistem saraan kita sudah 17 tahun tidak disemak balik. Sepatutnya kita akan ikut perjanjian kolektif. Sepatutnya kerajaan sedia untuk mewujudkan Majlis Perundingan Gaji antara tiga pihak berunding, majikan, pekerja dan kerajaan.

“Kita bagi pihak pekerja, kita juga ada pandangan, kita tak nak ada pandangan sehala. Kerajaan harus melihat semula kadar upah kerja hari ini diselaraskan semula berdasarkan kepada merit akademik, pengalaman dan kos sara hidup.

“Merit ini harus menjadi indikator bagi menetapkan kadar upah yang baharu,” ulasnya.

Jelas beliau, pada masa ini separuh penjawatan daripada skim sedia ada sudah tinggal separuh berbanding 500 sebelum ini.

“Dulu kita ada lebih 500 skim, sekarang ini tinggal 240 skim. Kami jangkakan 2020 makin kurang skim ini kerana fokus kepada TVET atau pekerja mahir serta dan jentera.

“Mungkin majikan atau kerajaan sendiri akan menggunakan lebih banyak jentera untuk menguruskan permintaan-permintaan pelanggan. Bila menguruskan jentera, yang diperlukan hanya manusia yang menguruskan mesin sahaja, bukan semua orang lagi,” katanya.

Katanya lagi, meskipun kerajaan kini lebih cenderung kepada Revolusi Industri 4.0 dan Internet of Thing, namun kadar upah perlu selaras dengan perkembangan semasa.

“Kerajaan tak boleh bercakap soal teknologi, kerajaan juga kena cakap kadar upah untuk memastikan kehidupan kita berterusan.

“Jangan kerana negara kaya, rakyat miskin, jangan negara maju, rakyat tertinggal di belakang, jangan jurang kaya dengan miskin terlalu tinggi, atap genting dan atap rumbia kembali semula,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast