Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyempurnakan gimik perasmian pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 19 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Dialog-dialog di antara pakar dan cendikiawan perlu ditingkatkan bagi membetulkan salah faham mengenai Islam di samping menjadi salah satu cara untuk orang lain memahami agama Islam.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, Al-Quran sentiasa mengingatkan matlamat utama dialog adalah untuk meningkatkan kebaikan kepada semua manusia.

Ia juga merupakan asas paling ideal untuk manusia daripada pelbagai latar belakang untuk berinteraksi.

Selain itu, umat Islam juga perlu mengukuhkan kefahaman terhadap iman dan menggunakannya sebagai asas setiap Muslim.

“Apabila kita berjaya mencapai semua perkara tersebut, kita akan mampu melahirkan generasi baharu Muslim yang boleh memainkan peranan mereka dengan kebijaksanaan, bersemangat, adil dan saksama.

“Mereka mempunyai kelebihan yang signifikan dalam dunia moden ini dengan akses segera kepada ilmu pengetahuan yang luas,” titahnya ketika berucap membuka Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di sini hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bertitah pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 19 DISEMBER 2019

Tambah Al-Sultan Abdullah, Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 adalah sebuah platform penting kepada pemimpin-pemimpin Islam, cendekiawan dan lain-lain untuk bertemu dan mengukuhkan perpaduan.

Titah baginda, menerusi platform sebegini semua pihak boleh menyedari bahawa umat Islam sebenarnya menghadapi cabaran yang serupa.

Justeru, baginda menyeru pakar-pakar dan para cendekiawan untuk sama-sama menghasilkan satu penyelesaian praktikal bagi umat Islam.

“Oleh kerana kemakmuran dan pembangunan sesebuah negara boleh dikongsi dengan ummah yang lebih besar makai a bersesuaian dengan tema persidangan kali ini yang menekankan pembangunan dan kedaulatan negara,” titahnya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast