KUALA LUMPUR – Kehadiran tiga negara Islam besar ke Sidang Kemuncak KL 2019 sudah mencukupi untuk mewakili suara masyarakat Islam dari Asia Tengah.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tiga negara itu iaitu Turki, Iran dan Qatar mampu memberi kerjasama dengan Malaysia yang juga penganjur dari Asia Tenggara pada masa akan datang.
Beliau menjelaskan banyak kerjasama boleh dilaksanakan dalam usaha menyelesaikan masalah ummah di peringkat awal.
“Sebenarnya Sidang Kemuncak KL 2019 ini menjadi pemangkin kelemahan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang gagal menangani masalah khususnya di Asia Barat.
“Ia langkah bijak memindahkan persidangan ke Asia Tenggara yang jauh daripada tempat yang ada masalah kerana rantau ini lebih aman dan tenang dari Asia Barat
“Apa yang menggembirakan negara seperti Turki, Qatar dan Iran menjadi wakil Asia Tengah yang sudah mencukupi dan Malaysia dari Asia Tenggara bagi merangka kerjasama untuk menyelesaikan masalah di peringkat awal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian Sidang Kemuncak KL 2019 bertema ‘Peranan Pembangunan dalam Akses Kedaulatan Negara’ dirasmikan hari ini oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut berangkat, Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,
Hadir sama pemimpin dunia Islam, Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani; Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran Hassan Rouhani.
Sidang kemuncak yang berlangsung sehingga Sabtu ini bertujuan berbincang dan mencari jalan penyelesaian baharu lagi berkesan bagi menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi dunia Islam selain menyumbang ke arah meningkatkan kesejahteraan umat Islam serta negara Islam secara umum.
Ia menjadi pentas bagi kira-kira 450 pemimpin negara, pemimpin Islam, cendekiawan, pemikir dan bijak pandai dari 56 negara untuk berbicara serta bertukar pandangan mengenai isu berkaitan dunia Islam.
Abdul Hadi turut mengucap tahniah kepada kerajaan kerana berjaya menganjurkan Sidang Kemuncak KL 2019 apabila sebahagian besar negara yang dijemput telah hadir dan dilihat satu langkah proaktif untuk memperkasa negara-negara Islam. – MalaysiaGazette
Alhamdulillah..