Aminuddin Yahaya
Aminuddin Yahaya

KUALA LUMPUR – Negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tidak sewajarnya memberi komen negatif terhadap penganjur dan mempertikai Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit) 2019.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya menegaskan, beliau tidak bersetuju dengan cara OIC atau Arab Saudi yang terbuka mengkritik Malaysia kerana membawa isu umat Islam.

“Arab Saudi sepatutnya bermuhasabah akan keberkesanan OIC sendiri, bukannya menghentam orang lain dengan asas yang lemah sebegini.

“Bagi saya, isu umat Islam terlalu banyak dan besar untuk ditangani oleh sesuatu pihak sahaja.

“Tidak ada salah untuk mana-mana pihak membincangkan isu umat Islam demi kepentingan agama dan kepentingan bersama,” katanya dalam hantar terbaru di Telegram miliknya, hari ini.

Selasa lalu, Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz menzahirkan rasa gusar terhadap isu umat Islam dibincangkan menerusi penganjuran KL Summit 2019.

Raja Salman berpandangan isu tersebut lebih sesuai untuk dibincangkan di pentas OIC.

Dalam pada itu, isu umat Islam yang dibincang dalam KL Summit menjadi satu tamparan kepada OIC yang selama ini didakwa tidak berani bersuara.

“Selama ini OIC seperti mandul dan tidak berani memperjuangkan nasib umat islam di China, Syria, India, Palestin, Iraq dan sebagainya.

“Memang mudah untuk mereka mengecam tetapi bukan mudah untuk menyelesaikan.

” Moga Kerajaan Saudi khususnya dan OIC secara amnya dapat membuat refleksi diri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast