MANCHESTER – Manchester City menuntut bayaran 1 juta pound daripada Arsenal untuk khidmat Mikel Arteta di Stadium Emirates.
Bayaran itu sebagai yuran pelepasan Mikel daripada kontrak bersama the Noisy Neighbours di Stadium Etihad.
Justeru laporan terbaharu di London mendakwa pasukan penasihat undang-undang the Gunners dikatakan sedang berhubung dengan rakan sejawatan di Man City untuk memuktamadkan proses terakhir sebelum melengkapkan penghijrahan bekas legenda Arsenal itu ke Emirates dalam tempoh terdekat ini.
Bagaimanapun, difahamkan setakat ini belum ada sebarang perjanjian untuk dimuktamadkan dari kedua dua pihak.
Arteta dikatakan telah merakamkan penghargaan terakhir kepada kakitangan dan pemain Man City dengan harapan dia akan diumumkan sebagai pengurus Arsenal secara rasmi pada Jumaat hari ini.
Arteta masih terikat dengan kontrak bersama Man City dan kelab kendalian Pep Guardiola itu masih menunggu untuk Arsenal membayar pampasan sebelum Arteta dibenarkan meninggalkan kelab itu.
Sementara sidang media menjelang perlawanan Arsenal Sabtu ini yang sepatutnya diadakan semalam oleh pengurus sementara Freddie Ljungberg dibatalkan.
City masih dikatakan marah dengan kaedah Arsenal memujuk Arteta sejak Ahad lalu.
Gunner setakat ini tidak menunjukkan hasrat secara langsung untuk khidmat Arteta ketika kedua-dua pasukan bertemu di Emirates pada Ahad yang lalu.
Bagaimanapun selepas aksi EPL itu, Arsenal menghantar dua pegawai kelab untuk bertemu dan berunding dengan Arteta pada lewat malam Ahad lalu.-MalaysiaGazette