NEW DELHI – Khidmat Internet dan jalur lebar di beberapa bandaraya utama disekat oleh kerajaan India – sehari selepas protes besar-besaran meletup terhadap akta pindaan kewarganegaraan yang diluluskan Parlimen di New Delhi minggu lalu.
Setakat ini, tiga orang awam dilaporkan meninggal dunia dan ribuan orang ditahan selepas protes yang didakwa aman tetapi bertukar ganas di beberapa wilayah di negara republik itu.
Beberapa lagi himpunan bantahan dijangka dilakukan di bandar-bandar termasuk ibu kota Delhi hari ini.
Perkhidmatan data mobil juga ditutup di Luknow, bandar Mangalore dan beberapa daerah di West Bengal.
Beberapa kawasan di negeri Uttar Pradesh juga terjejas teruk akibat protes yang sama.
Ekoran keputusan Mahkamah Tinggi India, perkhidmatan data internet dan telefon yang telah disekat di negeri Pantai Timur di Assam selama dua minggu lalu diaktifkan semula.
Undang-undang baharu yang dikenali sebagai Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA) menawarkan kerakyatan kepada pendatang asing tanpa izin bukan Islam dari Pakistan, Bangladesh dan Afghanistan mencetuskan kemarahan rakyat India.
Kelulusan RUU itu didakwa satu bentuk penindasan untuk golongan minoriti etnik India Muslim di Kashmir dan beberapa kawasan di India selain komuniti Tamil dari Sri Lanka yang dikatakan seharusnya disertakan dalam keistimewaan itu.
Undang-undang baharu itu dikhuatiri membelakangkan Perlembagaan Sekular India yang tidak seharusnya ditentukan berdasarkan kerakyatan.
Namun Perdana Menteri Narendra Modi yang dikecam pelbagai lapisan masyarakat di negara itu menafikan kebimbangan rakyat sekaligus menuduh ia sebagai penipuan pembangkang di negara itu.-MalaysiaGazette