Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan diiringi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) melawat ruang pameran pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 21 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR- Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berharap idea mewujudkan perdagangan menggunakan dinar emas dan barter di antara negara Islam dapat direalisasikan.

Idea tersebut pernah berulang-kali diutarakan sebelum ini bagaimanapun gagal untuk dilaksanakan.

“Kami secara serius melihat kepada perkara ini dan berharap dapat menemui mekanisme untuk melaksanakannya,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena majlis penutupan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di sini hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 21 DISEMBER 2019.

Menurut Mahathir,  sidang kemuncak yang berlangsung selama tiga hari itu berjaya membincangkan perkara-perkara penting melibatkan ekonomi, sains dan teknologi serta industri pertahanan.

Apa yang penting, katanya, kesemua fokus adalah tertumpu kepada keperluan untuk negara-negara Islam menghasilkan dan mencipta teknologi terkini kerana selama ini mereka sangat bergantung kepada teknologi-teknologi yang dicipta oleh musuh Islam.

Oleh itu, menerusi perbincangan dengan pemimpin-pemimpin Turki, Iran dan Qatar, Mahathir berkata, mereka bersetuju supaya kumpulan asal dikekalkan.

“Kami berkongsi sentimen yang sama iaitu bagi memastikan usaha-usaha menjayakan cadangan yang diusulkan sepanjang sidang kemuncak ini berjaya, kumpulan asal yang kecil ini (57 negara) dikekalkan.

“Ini membolehkan kami mencapai objektif dengan segera tanpa terganggu dengan terlalu banyak pandangan serta syarat,” katanya lagi.

Perdana Menteri turut mengingatkan tiada negara termasuk Malaysia sendiri yang terkecuali daripada dikenakan tindakan punitif seperti sekatan atau embargo.

Justeru, setiap negara Islam, katanya, mesti mampu berdikari dan perlu bekerjasama dengan negara-negara Islam yang lagi bagi memastikan apabila langkah tersebut dikenakan, mereka mampu menghadapinya.

“Perlu saya ingatkan bahawa Iran telah dikenakan sekatan selama beberapa tahun tetapi tetap mampu berkembang maju dan membangun.

“Negara itu kini boleh berdiri dengan bangga sebagai negara keempat yang memiliki jurutera teramai di dunia.

“Qatar juga telah dikenakan langkah punitif seperti Iran tetapi ia mampu bangkit dan berkembang dengan hebat,” katanya lagi.

Tanpa menyebut secara khusus mengenai etnik Ughyur atau Rohingya, Perdana Menteri menyuarakan kebimbangannya terhadap nasib umat Islam yang dipaksa untuk diasimilasi di negara-negara bukan Islam.

Katanya, sekiranya negara-negara Islam merdeka dan mampu berdiri di atas kaki sendiri, mereka tidak akan dilayan sekejam itu.

“Kami menyokong integrasi tetapi bukan asimilasi sehingga menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan agama Islam,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.