Kereta api Bukit Bendera menjadi tarikan pelancong yang popular di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Perkhidmatan keretapi funikular di Bukit Bendera, dekat sini yang tergendala sejak 8 malam semalam beroperasi semula pada 4.45 petang hari ini.

Perbadanan Bukit Bendera (PHC) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kawasan pelancongan itu sudah dibuka semula kepada orang ramai selepas kerosakan sistem keretapi funikular itu pulih sepenuhnya.

“Pasukan kami telah menjalankan kerja-kerja membaik pulih sistem yang rosak semalam dan ia sudah berjaya diatasi. Perkhidmatan keretapi mula beroperasi semula pada 4.45 petang manakala kaunter tiket dibuka kepada orang ramai sekitar pukul 4.30 petang.

“Kami meminta maaf dan kesal atas apa yang telah berlaku dan berharap orang ramai akan terus berkunjung ke Bukit Bendera. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan dan kesabaran kerana memahami masalah yang berlaku semalam,” menurut kenyataan itu.

Semalam, lebih 900 pengunjung terkandas di Bukit Bendera selepas perkhidmatan keretapi funikular di pusat pelancongan itu tergendala sejak 8 malam semalam.

Operasi membawa turun pengunjung yang terjejas itu bermula pukul 8.30 malam dan tamat sepenuhnya kira-kira pukul 1.03 pagi serta kesemua mereka berada dalam keadaan selamat.

Semalam, PHC dalam kenyataan berkata keretapi funikular tersebut tergendala akibat masalah kerosakan sistem.

Kejadian itu turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan rasa dukacita terhadap insiden itu.

Al-Sultan Abdullah berharap masalah brek hidraulik keretapi funikular itu dapat diselenggara dan langkah-langkah diambil dengan segera agar kejadian semalam tidak berulang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast