KUALA LUMPUR – MIC kecewa dengan kerajaan yang mengeluarkan arahan kepada hampir 60 pekebun kecil supaya mengosongkan kawasan tanah haram di Kuala Terla, Cameron Highlands.

Tindakan mengusir pekebun-pekebun yang terdiri dalam  kalangan masyarakat India mengundang kebimbangan apatah lagi tidak ada sebarang tanah alternatif diberikan kepada mereka ini walaupun mereka sudah berada di kawasan itu sejak tiga atau empat generasi.

Pengerusi Biro Bantuan Guaman MIC Kebangsaan, RT Rajasekaran yang melahirkan rasa kecewa dengan keputusan yang dianggap berat sebelah kerana tidak mengambil kira  nasib pekebun-pekebun ini yang akan diusir pada bila-bila masa.

Rajasekaran juga melahirkan rasa kecewa terhadap Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor yang didakwa tidak mengadakan pertemuan dengan pekebun-pekebun terlibat, sebaliknya telah mengeluarkan kenyataan.

“Pelik sekali apabila agak aneh untuk kerajaan negeri memberikan tanah baru kepada pekebun yang baru berhijrah ke Cameron Highlands tetapi tidak ada pula tanah alternatif bagi mereka yang sudah meneroka dan bekerja di tanah Kuala Terlah ini lebih 40 tahun, anda ambil keputusan halau mereka.

“Ingatlah, semua pekebun ini telah diberi lesen bertahun-tahun lamanya oleh kerajaan negeri sebelum ini, malah kebanyakan mereka telah menetap dan bekerja di tanah tersebut selama 40 sehingga 50  tahun lamanya. Sudah tentu, tanah gantian seharusnya diberikan setelah diusir bukan?

“Seandainya Ramli telah jalankan tugas secara jujur dan saksama, maka isu pekebun-pekebun sudah tentu dapat diselesaikan secara mudah dengan berunding dengan Menteri Besar,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.

Rajasekaran mengulas kenyataan oleh Ramli menyifatkan kenyataan Ketua Pemuda MIC Negeri Pahang yang membantah tindakan mengosongkan tanah haram yang diterokai di sekitar Lembagan Sungai Ichat, dekat Sungai Tiang dan Sungai Bertam adalah satu kenyataan yang kurang fakta dan tidak ikhlas.

Ramli berkata, tindakan pengosongan itu terpaksa diambil selepas dipersetujui oleh kerajaan pusat diterajui oleh Timbalan Perdana Menteri, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands, Datuk Seri Dr Wan Azizah serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Ahli Parlimen Cameron Highlands itu berkata, beliau menyokong tindakan itu atas dasar berlaku pencemaran bahan kimia ke dalam punca air kegunaan masyarakat di kawasan tersebut, selain merosakkan kawasan tadahan hujan yang memberi risiko kepada kesihatan dan keselamatan penduduk.

Namun kata Rajasekaran yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat (CWC) MIC, sepatutnya Ramli mampu memainkan peranan yang lebih baik bagi membetulkan keadaan ini terlebih dahulu memandangkan Wan Rosdy beberapa kali sudah memberikan kesediaan beliau memberikan tanah gantian bagi peneroka haram.

“Menteri Besar sendiri pernah menyebut beberapa kali bersedia untuk mencari alternatif bagi permasalahan ini atas dasar kemanusian sebelum ini. Jadi mengapa pula Ramli melulu sahaja menerima keputusan kali ini tanpa berunding?

“Kamu seperti ‘orang suruhan’ bagi pihak tertentu. Tolonglah pulang ke Cameron Highlands, lihat permasalahan yang sedang dihadapi oleh penduduk setempat termasuk krisis orang Asal juga. Banyak isu,” katanya.

Jelas Rajasekaran lagi, Jawatankuasa Khas Pemulihan Cameron Highlands telah membuat keputusan berhubung pengusiran itu tanpa memanggil mana-mana pekebun untuk mendengar permasalahan dihadapi oleh golongan itu.

“Kerajaan Negeri juga mempunyai segala kuasa untuk memberi tanah gantian untuk pekebun ini sebelum diusir keluar dari tanah tersebut. Jika sudah diberikan pastinya isu ini tidak timbul lagi,” tegasnya.

Pertengahan tahun ini, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri perlu bertegas dalam isu pekebun kecil Kuala Terla untuk menjamin kesinambungan bekalan air terawat, bagi keperluan kira-kira 70 peratus penduduk Cameron Highlands.

Beliau dipetik sebagai berkata, terdapat dua sungai iaitu Sungai Terla dan Sungai Ichat di kawasan berkenaan menjadi penyumbang sumber air mentah untuk diproses menjadi air terawat, tetapi hanya Sungai Terla digunakan ketika ini kerana Sungai Ichat tercemar teruk dan diburukkan dengan penerokaan haram di kedua-dua belah tebingnya.– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.