KUALA LUMPUR – Seramai 12 pemimpin termasuk pegawai khas Menteri Besar Pahang meletak jawatan serta merta ekoran kecewa dengan tindakan kerajaan negeri yang didakwa tidak mempedulikan nasib 60 pekebun kecil dalam kalangan masyarakat India di Cameron Highlands.

Pegawai khas kepada Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Arumugam AV Pillai ketika bercakap dengan MalaysiaGazette sebentar tadi berkata, beliau bersama 11 Ahli Majlis Berkuasa Tempatan (PBT) dari MIC terpaksa bertindak demikian kerana kerajaan negeri enggan membela nasib golongan ini.

Malah kata Arumugam, walaupun ada pihak tertentu mahu beliau bersabar dan tidak terburu-buru meletak jawatan pada masa ini, namun tindakan itu terpaksa dilakukan kerana mendakwa pihak satu lagi juga berkeras kepala enggan membantu petani yang terbabit.

“Ini bukan lagi soal hendak sabar atau tidak. Ini soal prinsip. Ini soal apakah yang akan terjadi kepada kumpulan pekebun kecil ini yang bukan sehari dua sudah bertani di Kuala Terla ini sebalik lebih tiga empat generasi.

“Apakah anda akan usir mereka, roboh tempat ini tanpa memberikan mereka apa-apa alternatif lain? Tanah gantian supaya periuk nasi mereka terjaga. Kita sedang bercakap tentang kerajaan negeri yang kuasanya kita pegang. Apakah kita tidak mampu berikan satu penyelesaian?

“Jadi untuk apakah kami masih lagi duduk memegang jawatan apabila pandangan serta harapan serta rayuan yang kami pinta ini dipandang sepi? Untuk apa duduk pegang jawatan lagi? Anda sudah masuk dengan jentolak, pekebun ini semua sudah dilarang masuk. Apa hendak sabar lagi?

“Saya sudah menghantar pesanan kepada Menteri Besar tentang peletakan jawatan saya berkuatkuasa serta merta. Datuk Seri belum memberikan apa-apa jawapan tetapi saya juga telah muktamad. Saya telah cuba sedaya upaya dan ini sememangnya tidak adil,” katanya sebentar tadi.

MalaysiaGazette sebelum ini mendedahkan arahan oleh kerajaan negeri yang kepada hampir 60 pekebun kecil supaya mengosongkan kawasan tanah haram di Kuala Terla, Cameron Highlands.

Tindakan mengusir pekebun-pekebun mengundang kebimbangan apatah lagi tidak ada sebarang tanah alternatif diberikan kepada mereka ini walaupun mereka sudah berada di kawasan itu sejak tiga atau empat generasi.

MIC sebelum ini sudah tampil mengkritik tindakan tersebut sambil memohon supaya tanah gantian diberikan terlebih dahulu sebelum kumpulan ini diusir keluar malah hari ini terdapat protes dilakukan oleh mereka namun selain ditahan, kerajaan negeri juga telah bertindak meneruskan pengosongan tersebut.

Arumugam juga mendedahkan sehingga saat-saat akhir beliau bersama-sama pemimpin telah sedaya upaya cuba melakukan rundingan namun semua usaha itu telah gagal.

“Rintihan serta rayuan kami sebelum operasi pagi tadi bagi pengosongan serta pembersihan itu tidak langsung diendahkan. Kami gagal dalam melaksanakan tanggungjawab membela masyarakat yang kami wakili sendiri.

“Presiden kami, Tan Sri SA Vigneswaran yang juga senada dengan kami ternyata kecewa dengan tindakan drastik oleh kerajaan negeri pada hari ini. Beliau sendiri bukan sahaja sokong malah meminta kami untuk meletak jawatan sahaja.

“Hakikatnya, walaupun kami adalah komponen dan negeri Pahang di bawah Barisan Nasional (BN) tapi suara MIC ini seolah-olah tidak ada nilai, murah sangatkah kami? Melampau ke permintaan membela nasib penduduk Cameron Highlands ini?

“Jangan lupa, mereka juga pengundi dan sangat harapkan belas daripada kita. Janganlah kita terlampau bermegah dengan kemenangan beberapa pilihan raya kecil sebelum ini, rakyat juga nampak. Kerajaan negeri Pahang di bawah kita tetapi sebagai salah satu komponen kita sendiri tidak berdaya?” katanya.

Kata Arumugam, operasi pengosongan dan  pembersihan kawasan pertanian telah dimulakan oleh Kerajaan Negeri Pahang dengan bantuan pihak polis dan  FRU pagi tadi.

“Berlaku beberapa tangkapan polis ke atas  pemimpin MIC yang cuba  menghentikan operasi tersebut.

“Malah operasi ini telah dimulakan kurang 24 jam MIC Negeri Pahang menzahirkan campur tangan MB Pahang bagi menangguhkan operasi tersebut dan  menawarkan kawasan pertanian  baru  bagi relokasi pekebun tersebut. Jadi apa maksudnya?,” soalnya.

Jelasnya lagi, permintaan untuk rundingan serta tanah gantian bukan sesuatu yang sukar untuk di penuhi sebenarnya.

“Kumpulan pekebun ini akur dengan keputusan pengosongan serta pembersihan tempat ini. Tetapi mereka juga berharap diberikan tempoh pemindahan serta tanah gantian. Sukarkah?

“Sememangnya harapan kami berkecai apabila Menteri Besar dan Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor langsung tidak menghiraukan nasib keluarga pekebun terbabit yang sudah  pasti runtuh sama sekali dengan tindakan yang diambil. Keyakinan dan  perjuangan kami diperkotak katikkan.

“Tetapi ini tidak lemahkan semangat kami untuk berjuang bukan sahaja untuk kumpulan pekebun ini sebaliknya keseluruhan masyarakat India secara keseluruhannya.

“Kita tidak akan sesekali terkongkong dengan jawatan serta kerusi empuk ini, MIC akan tetap membela nasib masyarakat, seandainya itu sukar untuk kamu (BN), terpulanglah, kami juga tidak gentar,” tegasnya.

Pertengahan tahun ini, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri perlu bertegas dalam isu pekebun kecil Kuala Terla untuk menjamin kesinambungan bekalan air terawat, bagi keperluan kira-kira 70 peratus penduduk Cameron Highlands.

Beliau dipetik sebagai berkata, terdapat dua sungai iaitu Sungai Terla dan Sungai Ichat di kawasan berkenaan menjadi penyumbang sumber air mentah untuk diproses menjadi air terawat, tetapi hanya Sungai Terla digunakan ketika ini kerana Sungai Ichat tercemar teruk dan diburukkan dengan penerokaan haram di kedua-dua belah tebingnya.– MalaysiaGazette

MIC mahu 60 pekebun Kuala Terla Cameron Highlands diberi gantian tanah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. tak apa lah. umno kan pembela rakyat. prk dulu masih hangat ditelinga pengundi. lagi pun kerajaan nak bela orang ramai. bukan nak bela orang 60 orang tu sahaja. tapak kuil ada ke tak ada kat situ. biasanya ada perkampongan ada lah tapak kuilnya

  2. Bagus MIC ni….bangsa dia kena wpun menceroboh tanah kjaan dia bela…tapi Melayu. dlm kjan skrg diam menikus kalau PBT roboh rumah2 org Melayu…

Comments are closed.