KUALA LUMPUR – Gabungan 11 persatuan bekas dan pesara pegawai Polis Diraja Malaysia mendesak kerajaan melakukan siasatan ke atas penganjur dua majlis memperingati perjanjian Damai Hatyai ke-30 yang diadakan di Sepang dan Kajang baru baru ini.
Presiden Persatuan Pesara Pegawai Kanan PDRM (RESPA), Tan Sri Mohd Ismail Che Rus berkata, siasatan perlu melbatkan kehadiran wakil rakyat, pemimpin politik dan warga pendidik institusi pengajian tinggi serta insiden yang melibatkan pengubahan jalur gemilang.
Katanya, permintaan maaf daripada pihak penganjur tidak sepatutnya diterima dengan mudah tanpa melakukan siasatan rapi dan perlu mengambil tindakan.
“Kami juga memberi amaran dan menegaskan mana-mana pihak atau individu agar menghentikan serta merta apa jua penganjuran majlis yang sama dan apa jua aktiviti yang berkaitan secara langsung atau tidak langsung membesarkan atau mengagungkan perjuangan PKM (Parti Komunis Malaya), tokoh dan ahli-ahli mereka.
“Kementerian Dalam Negeri hendakah melahirkan pendirian lebih tegas dan nyata selain memberi amaran disusuli tindakan undang-undang dalam perkara ini.
“Kita berpendirian tegas bahawa kerajaan harus segera memastikan undang-undang dan peraturan yang lebih jelas dan nyata digubal untuk mengharamkan sama sekali PKM termasuk organisasi dan unit yang diketahui ditubuhkan dibawahnya, ideologi komunisme serta apa jua tindakan untuk hidupkan semula PKM dan ideologi mereka dan yang didapati bersalah harus dihukum dengan setimpal dan berat,” katanya dalam sidang media di Padang Merbok hari ini.
Terdahulu Mohd Ismail dan bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar hadir ke Perhimpunan Pejuang Negara Menentang Ideologi Komunisme yang disertai hampir 3,000 orang bekas polis serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Para peserta perhimpunan itu membawa sepanduk dan kain rentang yang mengecam tindak-tanduk bekas ahli PKM dan cubaan untuk menghidupkan semula ideologi komunis.
Tambah Mohd Ismail, pihaknya kecewa dengan tindak-tanduk individu-individu tertentu yang cuba memberi pandangan dan persepektif baru terhadap matlamat perjuangan PKM sehingga mengesyorkan agar sejarah mengenainya dilakar dan ditulis semula.
Ditanya mengenai pihak yang didakwa bertanggungjawab cuba menghidupkan semula fahaman komunis itu, Mohd Ismail menjelaskan bahawa Cwangan Khas (SB) lebih mengetahui.
“Kalau nak wujudkan semula pun mestilah menerusi proses undang-undang dan perlembagaan yang mana bidang kuasa terletak kepada Pendaftar Pertubuhan.
“Kami yakin tidak ada kemungkinan PKM akan diluluskan serta didaftarkan jika bekas-bekas pejuang pertubuhan keganasan yang disekat itu buat permohonan,” tegasnya. – MalaysiaGazette
Betul, siasat mereka ini, siapa dalang nya…