KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Pahang didakwa menggunakan keganasan ke atas 60 orang pekebun sayur di Cameron Highlands apabila mengarahkan supaya kawasan tanah haram di Kuala Terla, Cameron Highlands dikosongkan.
Pengerusi Pakatan Harapan Pahang, Fuziah Salleh yang kesal dengan tindakan itu berkata, perkara tersebut tidak seharusnya berlaku, tambahan pula di musim perayaan ini walaupun beliau ambil maklum kawasan tersebut adalah kawasan tadahan hujan.
Namun, katanya, kerajaan negeri perlu lebih berperikemanusiaan untuk menunggu hasil kebun mereka dituai dahulu sebelum memindahkan pekebun secara rundingan dengan baik ke atas lot yang dikenal pasti kerajaan negeri.
“Tambahan pula waktu ini merupakan musim perayaan. Dan anak-anak mereka akan mula bersekolah. Tentu sekali hasil tuaian mereka diperlukan untuk membiayai persekolahan awal tahun anak-anak mereka nanti,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Pahang seharusnya mengenalpasti tanah untuk di pajak jangka masa panjang oleh pekebun sayur yang bercucuk tanam secara kecil- kecilan ini supaya mereka boleh melabur dengan peralatan sewajarnya untuk hasil yang lebih baik serta demi pembangunan ekonomi negara.
Artikel berkaitan:MIC mahu 60 pekebun Kuala Terla Cameron Highlands diberi gantian tanah
Mereka juga boleh dilatih untuk menggunakan teknologi moden serta amalan pertanian yang baik dan elak daripada menggunakan racun terlarang dan sebagainya.
Kerajaan Negeri Pahang seharusnya menggunakan cara rundingan menang- menang di dalam hal ini, tambahnya. – MalaysiaGazette
Wah bukan main lagi terkemutnya, tetapi tiada kemutan bila tanah rumah, gerai melayu dirobohkan. Tak kira musim hujan.