ANKARA – Tunang Jamal Khashoggi menyifatkan hukuman mati ke atas lima individu kerana terlibat dalam pembunuhan wartawan Arab Saudi itu sebagai tidak adil.
Sebaliknya, Hatice Cengiz berkata, pelaksanaan hukuman itu hanya menyembunyikan kebenaran.
Dalam satu kenyataan, Cengiz berkata, perbicaraan tersebut tidak mendedahkan mengapa tertuduh-tertuduh membunuh Khashoggi kerana perbicaraan diadakan secara tertutup.
“Sekiranya orang-orang ini dibunuh tanpa sebarang peluang untuk bercakap atau menjelaskan diri mereka, kita mungkin tidak pernah tahu kebenaran di sebalik pembunuhan tersebut.
“Saya menyeru semua pihak berkuasa dunia mengutuk keputusan mahkamah seperti ini dan dengan segera menghalang pelaksanaannya kerana ini hanya akan menyembunyikan kebenaran,” katanya.
Khashoggi hilang selepas memasuki bangunan Konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober 2018 untuk mendapatkan dokumen sebelum melangsungkan majlis perkahwinannya.
Dia yang disahkan mati dan mayatnya dikerat dan dipindahkan daripada bangunan tersebut. Sehingga kini mayatnya masih belum ditemui.
Isnin lalu, mahkamah Arab Saudi menjatuhi hukuman mati terhadap lima individu dan tiga lagi dihukum penjara.
Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh Riyadh membuat “penghinaan” keadilan dengan tidak mendakwa ‘individu’ penting yang mengarahkan pembunuhan itu.
Tetapi mahkamah Arab Saudi menolak dapatan siasatan PBB dengan memutuskan pembunuhan itu tidak dirancang.
Turki berkata, hasil perbicaraan oleh mahkamah Arab Saudi begitu jauh daripada memenuhi keadilan. – MalaysiaGazette