Kediaman banglo yang terpaksa dirobohkan kerana berlaku pergerakan tanah.

KUALA LUMPUR – Pemilik sebuah banglo di Jalan Kelab Ukay 2 diarahkan untuk merobohkan kediamannya setelah berlaku pergerakan tanah yang serius dan membahayakan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin berkata, langkah itu bertujuan menstabilkan dan memampatkan tanah agar tidak berlaku pergerakan tanah yang boleh membawa kepada kejadian yang lebih buruk berlaku.

Manakala penghuni dua lagi rumah berdekatan turut berpotensi terkesan dengan pergerakan tanah juga diarahkan untuk mengosongkan kediaman mereka dengan segera.

Perkara ini ujar Zuraida diputuskan oleh Jawatankuasa teknikal diwakili Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) ketika bermesyuarat bersama-samanya sebelum membuat lawatan tapak di sini sebentar tadi.

“Tahapnya pergerakan tanah serius dan berbahaya untuk diduduki. Tindakan segera adalah kita perlu mengorbankan satu rumah iaitu rumah nombor 3 (yang mengalami pergerakan  tanah, (kerana) jika dirobohkan tanah boleh distabilkan dan dimampatkan.

“Pada prinsipnya pemilik bersetuju untuk pihak berkuasa merobohkan rumahnya namun demikian kita juga harus melihat perkara-perkara teknikal, perkara-perkara pengurusan yang perlu kita lihat,” katanya ketika sidang media.

Selain itu, pemilik yang perlu menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan seperti insurans rumah dan sijil layak menduduki (CF) kepada Jawatankuasa Teknikal, arkitek dan jurutera rumah tersebut, yang dikehendaki memberikan laporan untuk kajian punca berlakunya pergerakan tanah dapat dikenalpasti.

“Saya sudah bercakap dengan pemilik, saya minta dia kumpulkan dokumen insurans dan CF dan akan dilihat oleh MPAJ untuk lihat apakah yang boleh kita bantu dari segi pemindahan dan dari segi perobohan rumah itu,” ujarnya.

Beliau dalam masa yang sama menggesa Air Selangor menyiasat sama ada berlakunya paip pecah di bawah tanah kediaman yang berusia lebih kurang 10 tahun itu.

Zuraida Kamaruddin meninjau keadaan di kediaman banglo di Jalan 2 Kelab Ukay, Ukay Perdana yang mengalami pergerakan tanah serius.

MalaysiaGazette yang dibenarkan berada di kawasan perkarangan kediaman itu dalam beberapa minit mendapati dinding rumah bahagian belakang mengalami keretakan.

Malah, bahagian belakang rumah itu juga sengit dan semakin rendah berbanding struktur asal, difahamkan kerana tanah mendap dengan ketara.

Mengulas lanjut, Zuraida memaklumkan kos perobohan dan pampasan tidak akan ditanggung oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mahupun kementerian kerana tanah itu merupakan hak milik individu.

“Sebenarnya ini tidak tertakluk pada apa-apa pampasan. Sebab ini rumah individu. Meskipun pihak berkuasa akan robohkan tapi sebenarnya kos perlu ditanggung oleh pemilik,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Ampang itu turut mengarahkan MPAJ memasang membran plastik pada permukaan tanah agar tidak terkena hujan.

“Saya minta MPAJ dan jabatan terlibat meletakkan plastik pada permukaan tanah-tanah yang terdedah, kalau hujan tanah tidak akan serap air dan membuatkan ia semakin lembik,” tambahnya.

Dilaporkan pemilik rumah tersebut mendengar bunyi yang kuat jam 4 pagi tadi dan mendapati rumah mereka berlaku pergerakan tanah yang serius.

Serentak itu, semua penghuni dengan segera meninggalkan kediaman tersebut.

Ekoran kejadian itu, Zuraida berkata, terdapat keperluan untuk mewujudkan Unit Cerun di bawah Jabatan Kerja Raya, khusus  memberi garis panduan dalam menetapkan prosedur standard operasi (SOP)  berkenaan pembinaan rumah di lereng bukit.-MalaysiaGazette