Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman didakma pandai berlakon apabila mengkritik Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang memansuhkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) membabitkan 33 skim bagi kakitangan baharu mulai 1 Januari 2020.

Presiden MCA menyelar tindakan Syed Saddiq itu kerana sebagai menteri penuh, menteri itu perlu hadir dalam mesyuarat Kabinet setiap minggu membawa ‘suara lantangnya’.

Soalnya adakah sesuai bagi Menteri Belia dan Sukan itu melenting di luar dan berdiam diri semasa mesyuarat Kabinet.

Tanya Ka Siong lagi, adakah Syed Saddiq sedar JPA adalah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, yang mana bosnya adalah Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

“Mana mungkin polisi baru ini tidak dibincang di Kabinet atau sekurang-kurangnya di dalam jawatankuasa yang dipengerusikan serta dipersetujui oleh PM sendiri?

“Kalau PM dah bersetuju dengan kertas kerja JPA, apa lagi yang nak dibantah oleh Syed Saddiq? Kalau tak puas hati dan nak buat bising serta minta dikaji semula keputusan PM, memang boleh iaitu anggota Jemaah Menteri membangkitkan isu ini pada mesyuarat Kabinet dan dibuat keputusan secara kolektif. Tumpang tanya, Syed Saddiq dah buat proses ini?,” soal Ahli Parlimen Ayer Hitam itu.

Tanyanya lagi, Syed Saddiq faham atau tidak, prinsip “tanggungjawab kolektif” yang diamalkan oleh Jemaah Menteri?

“Kalau mana-mana Menteri tak sehaluan dengan PM, hanya satu jalan keluar iaitu letak jawatan! Itulah namanya Sistem Westminster yang diamalkan di Malaysia.

“JPA adalah agensi pelaksana keputusan kerajaan. Setiap keputusan mesti ada punca kuasa. Yang Syed Saddiq marah kat JPA ini apa pasal? Adakah JPA menjadi dalang atau deep state yang mensabotaj Kerajaan PH? Dakwaan ini serius tau. Jangan main-main…….,” katanya.

Mengulas mengenai pemansuhan BIPK itu, Ka Siong berkata, elaun ini mungkin kecil bagi sesetengah pihak tapi besar maknanya bagi penjawat awam, selain sebagai pembakar semangat mereka.

Tindakan kerajaan PH yang memansuhkan elaun tersebut dilihat sebagai tidak adil dan satu perbuatan membuli mereka yang baru memasuki alam pekerjaan sebagai penjawat awam.

Daripada kerajaan PH bersungguh memansuhkan elaun ini, kenapa tidak hentikan projek-projek seperti kereta nasional ketiga dan kereta terbang.

Kedua-dua projek itu bukanlah satu keperluan penting kepada rakyat yang ketika ini bergelut dengan kenaikan kos sara hidup, ujarnya. – MalaysiaGazette