Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia merancang untuk mengeluarkan lima lesen kepada para pemohon yang layak untuk menubuhkan bank digital sama ada dalam perbankan Islam mahu pun konvensional di Malaysia.

Bank pusat itu telah menerbitkan Draf Pendedahan Rangka Kerja Perlesenan untuk Bank-Bank Digital yang merupakan sebahagian daripada langkah-langkah yang diambil olehnya untuk membolehkan penggunaan inovasi teknologi dalam sektor kewangan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Bank Negara berkata, draf tersebut telah menggariskan rangka kerja bagi perlesenan bank-bank digital yang masih dalam cadangan untuk menawarkan perkhidmatan dan produk yang boleh mengisi jurang dalam segmen-segmen yang tidak mendapat perhatian sebelum ini.

Tambahnya, bank-bank digital itu diharapkan mampu menawarkan akses berguna di samping mempromosikan penggunaan bertanggung jawab produk dan perkhidmatan kewangan yang sesuai dan mampu milik kepada pelanggan.

“BNM telah menggunakan pendekatan seimbang untuk memberi kebenaran bank-bank digital yang mempunyai nilai yang kukuh dan dalam masa yang sama menjaga integriti dan kestabilan sistem kewangan serta kepentingan pendeposit dengan mengambil kira yang bank-bank digital berkenaan tidak boleh beroperasi dalam pusingnan kewangan dan ekonomi penuh,” katanya.

Tambah BNM, bagi mencapai maksud tersebut, satu nilai ambang aset tidak melebihi RM2 bilion akan dilaksanakan untuk tempoh permulaan selama tiga hingga lima tahun operasi.

Ia berfungsi sebagai “fasa asas” kepada pemegang-pemegang lesen menunjukkan keupayaan operasi mereka dan memudahkan BNM untuk memantau prestasi serta risiko yang mungkin ada.

Katanya, bank-bank berkenaan juga perlu mematuhi syarat-syarat yang telah termaktub di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 termasuk syarat-syarat yang relevan termasuk menjalankan perniagaan dengan standard berhemah, melindungi pengguna serta tidak melakukan penggubahan wang haram dan membiayai terorisme.

Bank-bank digital itu disyaratkan untuk memiliki dana modal minimum sebanyak RM100 juta semasa fasa asas dan RM300 juta selepas itu.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast