KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan akan bekerjasama dengan syarikat perkhidmatan pos dam kurier untuk menyekat pembelian pil gugur kandungan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sumber-sumber pembekalan pil gugur kandungan disyaki diperolehi secara haram melalui pembelian secara atas talian atau penyeludupan dari negara luar.
Berikutan itu, kata beliau,pihaknya melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) telah meningkatkan kerjasama dengan pengendali platform e-dagang yang berpusat di Malaysia.
“Notifikasi dihantar kepada pengendali platform e-dagang agar menurunkan iklan-iklan berkenaan pil gugur janin.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima sebanyak 51 aduan berkaitan penjualan pil gugur kandungan secara dalam talian yang disalahgunakan untuk aktiviti pengguguran haram dan penggunaan yang tidak dibenarkan oleh undang-undang sepanjang tahun 2018 hingga 2019.
“Dalam pada itu, sebanyak 24 serbuan disasarkan ke atas produk ini telah dilaksanakan dari tahun 2016 hingga 2019 yang melibatkan nilai rampasan sebanyak RM95,233,” katanya dalam kenyataan di laman rasminya hari ini.
Justeru katanya, KKM turut berkerjasama rdengan agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), CyberSecurity dan Polis DiRaja Malaysia bagi mengekang kewujudan laman sesawang, media sosial dan lain-lain platform media baharu yang dikesan melanggar akta-akta yang dikuatkuasakan.
Tambah Noor Hisham, sejak 2016 hingga 2019, sebanyak 302 laman sesawang telah disaring oleh KKM dan daripada jumlah itu sebanyak 98 laman sesawang duruk kepada SKMM, Facebook, Twitter, dan YouTube untuk ditutup.
Katanya, sejak akhir-akhir ini penjualan pil pengguguran kandungan seperti misoprostol yang dilakukan secara dalam talian semakin memuncak.
“Pengambilan pil gugur tanpa pengawasan pengamal perubatan berdaftar boleh memberi implikasi seperti rahim terkoyak (uterine rupture), pendarahan tidak normal dan jangkitan kuman serta boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat.
“Selain itu, pengambilan pil gugur juga boleh menyebabkan kelahiran bayi cacat sekiranya kandungan tersebut tidak berjaya digugurkan setelah ubat gugur kandungan tersebut diambil,” ujarnya.
Jelas beliau, Misoprostol merupakan produk tidak berdaftar yang sering disalahgunakan tanpa pengawasan pengamal perubatan berdaftar untuk tujuan pengguguran janin.
Pemegang pendaftaran produk tersebut telah membatalkan pendaftaran produk itu pada November 2016 menjadikannya sebagai produk tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan tidak dibenarkan dijual di pasaran Malaysia, katanya.
“Penjualan produk yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan satu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.
“Individu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya,” katanya. – MalaysiaGazette