Wakil Dong Zong, Ng Chai Heng bercakap pada Forum Jawi : Saling Memahami anjuran Gabungan Bertindak Malaysia @ KLSCAH di KL and Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) mendakwa memorandum yang diserahkan kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching tidak pernah sampai ke tangan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Menurut Setiausaha Agungnya, Ng Chai Heng, pihak Dong Zong ada menyerahkan memorandum pada 6 Ogos lalu.

Rata-rata memorandum itu adalah bagi menyampaikan persetujuan secara konsensus dengan keputusan Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi pembelajaran murid Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil (SJKT), mulai tahun depan.

“Saya tidak tahu samada Timbalan Menteri ada beri atau tidak memorandum Dong Zong kepada Menteri, tapi kami ada beri memorandum kepada Timbalan Menteri, jadi kita menyeru mahu dialog,” katanya kepada MalaysiaGazette semasa menjadi ahli panel dalam Forum Jawi: Saling Memahami anjuran Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dekat Kampung Attap, semalam.

Dong Zong sebelum ini bersama 12 pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil bersetuju secara konsensus untuk KPM memperkenalkan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Ia disahkan sendiri oleh Nie Ching dalam sidang media selepas pertemuan itu.

Dalam pada itu, Chai Heng berkata, Kongres Jawi yang diadakan di Dong Zong adalah satu acara tertutup dan akan mengumpulkan idea dan cadangan kepada KPM mengenai pelaksanaan tulisan Jawi.

“Ini cuma satu persidangan kerana kita ada ramai ahli, jadi ada rungutan. Kita bagi peluang kepada mereka dan kutip semua pendapatan dan rungutan dan buat satu memorandum atau cadangan kepada Kementerian Pendidikan bagaimana nak selesaikan isu penolakan tulisan Jawi.

“Esok cadangan itu akan dikupas dan diberikan kepada Menteri Pendidikan sebab kita tidak pernah ada peluang untuk berdialog dengan beliau,” katanya.

Pertubuhan itu semalam berkeras mengulangi pendirian mahu meneruskan persidangan isu tulisan jawi di sekolah vernakular yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini di Kajang.

Ahli jawatankuasa Dong Zong, Low Chee Chong berkata, persidangan itu menggantikan perkataan kongres dan setakat ini lebih 100 pertubuhan Cina di seluruh negara menyatakan persetujuan mereka untuk hadir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.