LONDON – Selepas 18 bulan mengendalikan West Ham, Manuel Pellegrini akhirnya dipecat selepas pasukannya tewas 1-2 kepada Leicester City di tempat sendiri dalam aksi Liga Perdana, awal pagi tadi.
Dua kemenangan dalam 14 perlawanan, termasuk tujuh kekalahan dalam sembilan perlawanan terakhir liga, mengakhiri tempoh perkhidmatan bekas pengendali Real Madrid dan Manchester City berusia 66 tahun itu di West Ham.
“Kami dengan berat hati terpaksa membuat keputusan ini.
“Manuel individu yang budiman dan kami gembira dapat bekerjasama dengan seseorang yang berkaliber sepertinya.
“Bagaimanapun, jelas perubahan diperlukan untuk membawa kelab ini kembali ke landasan yang seiring dengan cita-cita kami musim ini.
“Kami merasakan tindakan perlu diambil segera bagi memberikan tempoh sebanyak mungkin buat pengendali baharu cuba mencapai matlamat itu,” kata pengerusi bersama, David Sullivan.
West Ham akan melayan kunjungan Bournemouth, yang berada satu anak tangga di atas mereka dengan kelebihan satu mata pada aksi 1 Januari ini.
Demarai Gray yang gagal menyempurnakan sepakan penalti di awal permainan, menebus kesalahannya dengan meledak gol kemenangan selepas Pablo Fornals memadamkan kelebihan Leicester yang mendahului permainan menerusi gol Kelechi Iheanacho.
Keputusan Perlawanan Liga Perdana Inggeris
LONDON – Berikut keputusan Liga Perdana Inggeris:
Brighton 2 – 0 Bournemouth
Burnley 0 – 2 Manchester United
Newcastle 1 – 2 Everton
Norwich 2 – 2 Tottenham
Southampton 1 – 1 Crystal Palace
Watford 3 – 0 Aston Villa
West Ham 1 – 2 Leicester
– MalaysiaGazette