KUALA LUMPUR – Waktu perkhidmatan rel transit dan bas Rapid KL akan dilanjutkan menjelang Ambang Tahun Baru 2020 esok.
Prasarana Malaysia Berhad berkata, Rapid Rail Sdn Bhd dan Rapid Bus Sdn Bhd selaku pengendali sistem rel transit dan bas Rapid KL akan melanjutkan waktu perkhidmatannya sempena Ambang Tahun Baru 2020 bagi memenuhi keperluan orang ramai yang akan menghadiri sambutan ini.
Katanya, lanjutan perkhidmatan itu akan melibatkan 13 stesen LRT, MRT, Monorel, BRT serta 14 laluan bas Rapid KL dan perantara MRT.
“Stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT yang dilanjutkan perkhidmatan sehingga jam 1.30 pagi adalah seperti berikut: LRT Laluan Kelana Jaya: USJ 7, Pasar Seni, Masjid Jamek, KLCC dan Ampang Park; LRT Laluan Ampang/ Sri Petaling: Bandaraya, Masjid Jamek; MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang: Pasar Seni, Bukit Bintang, Maluri, Mutiara Damansara; Laluan Monorel Kuala Lumpur: Bukit Bintang, dan BRT Laluan Sunway: Sunway Lagoon.
“Stesen-stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa tetapi penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan.
“Manakala bagi perkhidmatan bas, terdapat beberapa laluan yang akan melanjutkan waktu perkhidmatannya, ” kata Prasarana dalam kenyataan.
Justeru, Rapid KL menyarankan warga ibukota menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam pada hari tersebut untuk mengelak kesesakan lalulintas terutamanya berdekatan kawasan-kawasan yang akan menganjurkan acara dan pertunjukan untuk menyambut tahun naru.
Rapid KL juga menasihatkan orang ramai untuk menyambut Ambang Tahun Baru secara berhemah dan menjaga keselamatan masing-masing.
Untuk maklumat lanjut orang ramai khususnya pengguna Rapid KL diminta berhubung dengan petugas stesen sekiranya memerlukan bantuan atau melayari Twitter dan Facebook MyRapidKL selain melayari laman web: www.myrapid.com.my – Malaysiagazette