KUALA LUMPUR – Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan tidak akan campur tangan dalam urusan pelaksanaan program akademik di universiti.
Ini memandangkan, setiap universiti awam di negara ini mempunyai sistem kawalan kualiti dalaman dan luaran (Internal and External Quality Assurance System).
Bagaimanapun, menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Ketua Pengarah JPT Kementerian Pendidikan, pihaknya sentiasa memantau kecemerlangan universiti melalui beberapa matriks seperti kemenjadian dan kebolehpasaran graduan, keunggulan institusi, impak universiti terhadap industri dan masyarakat.
“JPT mengambil maklum berkenaan kontroversi beberapa soalan peperiksaan di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) yang dianggap sensitif oleh sesetengah pihak.
“Soalan-soalan yang dianggap sensitif oleh beberapa pihak termasuk soalan yang berkaitan LGBT, pengukuhan Jawi dan Zakir Naik sebagai seorang ikon dunia Islam.
“Kita ingin menekankan setiap universiti mempunyai sistem kawalan kualiti dalaman dan luaran. Jawatankuasa Akademik setiap universiti termasuk Senat universiti bertanggungjawab ke atas semua standard akademik masing-masing,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan kepada media hari ini.
Kenyataan itu menjawab luahan Naib Presiden MIC, Datuk Sivaraajh Chandran hari ini, yang tidak berpuas hati dengan beberapa soalan Peperiksaan Kursus Hubungan Etnik (UUW 235) UniMAP.
Sivaraajh dilaporkan berkata, beliau terkejut dengan soalan itu, yang disifatkan tidak sepatutnya berlaku, lebih lagi UniMAP adalah institusi pendidikan bukan medan berpolitik.
Menurut kenyataan itu lagi, JPT memegang kepada konsep autonomi dan kebertanggungjawaban iaitu pihak universiti bertanggungjawab kepada semua pihak berkepentingan, termasuk pelajar dan orang awam.
Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, pihak UniMAP dijangka memberi penerangan lanjut berkenaan isu itu. – MalaysiaGazette