Kamaruzaman Mohamad
Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Isu lambakan pelancongan asing dari China dan India yang tidak mempunyai rekod keluar dari negara ini amat membimbangkan.

Ketua Penerangan Pas Malaysia, Kamaruzaman Mohamad berkata, perkara itu serius dan boleh menjejaskan kedaulatan dan keselamatan negara jika tidak ditangani segera.

Beliau berkata, menurut laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2, sepanjang 2016 sehingga 2018, sebanyak 79,799 data ketibaan warga China dan 41,243 warga India melawat ke negara ini.

Namun, Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) merekodkan 76,258 atau 95.6 operatus warga China dan 39,806 (96.5%) warga India tidak mempunyai rekod keluar.

Pada 21 Ogos lalu pula, telah berlaku gangguan sistem rangkaian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selama tiga hari, yang menjadi catatan hitam dalam sejarah negara.

“Dalam tempoh tersebut, tular di media sosial segerombolan warga China masuk ke Malaysia atas tiket pelancong.

“Perkara ini dilihat sebagai satu tindakan terancang apabila Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) membuat laporan kepada Jabatan Imigresen dan polis supaya menyiasat kegagalan rangkaian di KLIA itu seperti satu tindakan berniat jahat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Kamaruzaman, apa berlaku itu seperti mempunyai kaitan dengan sindiket kad pengenalan, pasport dan sijil kelahiran palsu di Pulau Pinang menyebabkan lebih 20 suspek ditangkap termasuk seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang.

Manakala Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T. Narenasagaran pula mengatakan pihaknya percaya sindiket itu bukan sahaja berlaku di Pulau Pinang, malah di negeri lain dan percaya sudah lama beroperasi.

“Pas menegaskan secara total agar menteri dan pihak berkuasa segera menyiasat sindiket kemasukan warga China dan India serta kaitannya dengan sindiket kad pengenalan palsu secara menyeluruh.

“Jangan kerana kepentingan pihak tertentu untuk mempertahankan kuasa politik, kedaulatan dan keselamatan negara tergadai di tangan orang asing,” tegasnya. – MalaysiaGazette