Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah (dua kanan) bersama para peniaga membuat demonstrasi membantah pemindahan tapak baharu Uptown Danau Kota di Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 02 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) menggesa polis menyiasat dakwaan salah guna kuasa berhubung pemindahan kira-kira 800 peniaga Uptown Danau Kota ke tapak baharu yang didakwa bekas tapak loji kumbahan.

Presidennya, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah mendakwa, siasatan itu mesti membabitkan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Dr Tan Yee Kew kerana didakwa menyebabkan lebih 200 peniaga asal Uptown Danau Kota tercicir daripada pemindahan ke tapak baharu.

“YB (Yee Kew) gagal menangani keadaan sehingga para peniaga-tidak dapat berniaga dan mengalami kerugian yang besar.

“YB juga seperti menggunakan kuasa untuk menekan atau memaksa pemindahan ini dengan menggunakan khidmat polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Sepatutnya keputusan perlu menang-menang,” katanya pada sidang media di tapak niaga Uptown Danau Kota hari ini.

Sebahagian penduduk menaikkan banting ketika melawat tapak baharu Uptown Danau Kota di Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 02 JANUARI 2020.

Pada Oktober tahun lalu, kira-kira 800 peniaga asal Uptown Danau Kota diberikan notis oleh DBKL bagi mengosongkan Jalan Intan Setia, Wangsa Maju yang menjadi tapak asal peniaga bazar ke larut malam itu.

Bagaimanapun para peniaga asal Uptown Danau Kota hanya mula berpindah ke tapak baharu iaitu berhadapan dengan lokasi asal pada pertengahan November tahun lalu.

Menurut notis DBKL itu, bermula 1 Januari 2020, mana-mana peniaga yang masih tidak berpindah masuk ke tapak baharu akan diambil tindakan termasuk menyita peralatan perniagaan mereka.

Dalam pada itu, Mohd Ridzuan juga mendakwa, wakil rakyat terbabit telah menimbulkan ketegangan apabila terbabit secara langsung dalam persatuan baharu peniaga dan di tapak baharu Uptown Danau Kota.

“Sehingga hari ini, lebih 200 peniaga yang berlesen disekat berniaga dan terdapat lebih 30 peniaga baru berbangsa Cina diberi tapak untuk berniaga.

“Sebelum ini majoriti berbangsa Melayu. YB juga telah menawarkan diri dilantik sebagai penaung persatuan baru. Saya minta siasatan dijalankan terhadap persatuan baru ini, adakah wujud unsur salah guna kuasa dan agenda tersembunyi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ridzuan turut melahirkan rasa kesal apabila tapak baharu Uptown Danau Kota diubah nama kepada Bazaria Wangsa Maju sekaligus menimbulkan keresahan kepad para peniaga asal.

“Kenapa ditubuhkan persatuan baru (Persatuan Peniaga Bazaria Wangsa Maju) di Uptown Danau Kota sedangkan di situ sudah ada beberapa persatuan yang masih aktif?

“Ini hanya menyebabkan suasana jadi huru-hara dan berpuak-puak. Ia nampak seperti Kerajaan PH (Pakatan Harapan) ini menzalimi warga peniaga sedangkan pendatang tanpa izin yang berniaga dilindungi,” dakwanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

‘Orang tengah’ kutip duit penjaja Bazar Danau Kota dicekup

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast