TAHUN Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini telah diangkat sebagai misi nasional yang cukup penting pada tahun ini. Justeru bagi menjayakannya ianya
memerlukaan komitmen dan kerjasama semua rakyat negara ini.
Sasaran kedatangan jumlah pelancong antarabangsa telah ditetapkan sebanyak 30 juta dengan matlamat untuk meraih RM100 bilion pendapatan pelancongan. Sasaran ini kelihatan amat realistik dan boleh dicapai kerana mengikut rekod Januari hingga September 2019, prestasi industri pelancongan negara amat menggalakkan. Ketibaan warga asing meningkat 3.7 peratus kepada 20.11 juta orang berbanding 19.39 juta orang bagi tempoh sama 2018, sekali gus menyaksikan perbelanjaan pelancong asing untuk tempoh tersebut meningkat 6.9 peratus, iaitu sebanyak RM66.14 bilion berbanding RM61.85 bilion bagi tempoh sama 2018.
Jelas sekali industri pelancongan menjanjikan kesan limpahan yang cukup menarik dan amat menyeluruh. Hampir semua lapisan rakyat dapat menikmati kesan positif tersebut mengikut tahap penglibatan masing-masing. Jadi misi nasional ini perlu
diberi perhatian serius oleh semua pihak supaya ianya mencapai sasaran yang telah ditetapkan.
Dalam konteks ini, perkara yang paling mustahak bagi setiap kita ialah bertindak sebagai duta negara. Kita perlu memainkan peranan masing-masing dengan betul, profesional dan efisien. Antara peranan utama ialah, sebagai tuan rumah kita perlu layan tetamu luar yang datang dengan penuh kasih sayang, berhemat, sopan santun dan budi bahasa. Buktikan budi bahasa adalah budaya kita seiring dengan norma-norma kehidupan lazim sebagai orang timur.
Dalam apa jua keadaan sekalipun berilah layanan yang mesra, jadilah fasilitator dan pemandu pelancong yang baik dan profesional. Pelancong yang datang terdiri dari pelbagai latar belakang negara, agama, bangsa, bahasa dan juga budaya. Jadi kita perlu bijak membaca kehendak dan keperluan mereka. Penulis percaya antara perkara yang sering menimbulkan konflik dan masalah ialah pertembungan dalam aspek bahasa dan budaya. Dari segi bahasa misalnya, ada ketikanya kita tidak faham apa yang mereka cakap dan ada ketikanya mereka juga tidak memahami bahasa komunikasi kita. Begitu juga halnya dengan budaya, sebagai orang timur budaya kita pastinya sangat berbeza dengan budaya dan cara hidup orang barat. Jadi kita perlu banyak bersabar dalam melayan karenah mereka.
Bersabar di sini bukanlah bermaksud kita mengalah atau menggadai nilai-nilai murni dan amalan budaya kita sebaliknya sebagai duta marilah kita ajar dan didik warga asing tentang kehebatan bahasa, budaya dan cara hidup masyarakat kita. Kita perlu ambil peluang ini untuk sebarluaskan budaya rakyat Malaysia ke seluruh dunia.
Satu lagi peranan penting kita sebagai duta ialah memikul tanggungjawab menjaga pelancong yang datang ke negara kita. Harus diingat mereka memilih negara kita sebagai destinasi pelancongan mereka antara lain adalah kerana kita merupakan
sebuah negara yang aman, selamat dan rakyat menjalani kehidupan yang harmoni. Jadi jangan kita merosakkan imej dan persepsi baik mereka terhadap negara kita.
Oleh itu kita perlu bertanggungjawab memastikan mereka tidak ditipu atau dianiaya dalam apa jua keadaan sekalipun. Antara langkah yang boleh kita ambil ialah, jika kita seorang pemandu teksi janganlah ambil kesempatan mengenakan caj berlebih-lebihan atau cekik darah mereka. Sebagai peniaga pula juga jangan jual apa jua barang atau perkhidmatan kita dengan mahal dan melampau. Diharap pihak berkuasa akan melipatgandakan usaha untuk menjaga keselamatan dan melindungi kepentingan pelancong asing yang sering menjadi mangsa penipuan, ragut dan juga rompakan. Sedarlah ini semua akan beri imej buruk kepada rakyat dan negara ini secara keseluruhannya.
Ironinya pelancong datang ke negara kita untuk bercuti, berehat dan melawat keunikan masyarakat dan negara kita. Jadi bertindaklah sebagai duta kecil yang boleh memberikan pengalaman tersebut sebaik mungkin kepada setiap pelancong
yang datang. Biar mereka pulang dengan kepuasan dan keseronokan yang maksimum sehingga boleh menjadi duta dan jurucakap untuk mempromosi negara kita kepada rakan-rakan mereka pula.
Jadi sedarlah betapa besarnya tanggungjawab dan peranan yang perlu kita laksanakan sebagai duta negara ini. Negara kita adalah tanggungjawab kita bersama. Marilah kita menjayakan misi nasional TMM2020 dengan iltizam untuk menjadi tuan rumah dan duta yang terbaik kepada semua tetamu kita dari seluruh
pelosok dunia. Juga jangan mensia-siakan peluang yang terhidang depan mata ini untuk meraih sebanyak mungkin limpahan langsung dan tidak langsung yang berpunca dari kemasukan pelancong ini. – MalaysiaGazette
Oleh: Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah, Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, UPM