Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Peletakan jawatan Dr. Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan semalam, dipercayai wujud perancangan pihak tertentu untuk memberi tempat kepada orang “paling berpengaruh” dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa membuat andaian itu berdasarkan prestasi Dr. Maszlee sepanjang 20 bulan menerajui Kementerian Pendidikan, tidak dianggap terburuk.

“Kesian (Dr) Maszlee. Dia jadi mangsa walaupun dia bukanlah yang terburuk. Tetapi, tempatnya hendak diisi atau diambil untuk seseorang yang diketahui kroni orang yang paling berpengaruh dalam kerajaan PH.

“Orang ini terkenal dengan “playsafe” dan pentingkan dirinya dulu dalam politik. Dialah orang kuat Datuk Seri Najib (Tun Razak) dahulu,” katanya dalam ciapan Twitternya hari ini.

Petang semalam, Dr. Maszlee mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan.

Baca: Maszlee lepas jawatan Menteri Pendidikan

Baca: Maszlee rasa terkilan banyak pencapaiannya tak dilihat

Dalam pengumumannya itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah memberinya peluang menerajui kementerian tersebut.

Beliau berjanji akan meneruskan khidmat kepada negara atas pelbagai kapasiti lain termasuk melalui PPBM. – MalaysiaGazette