LONDON – Chelsea sedang merancang untuk meletakkan bidaan bernilai 60 juta pound (RM322 juta ) untuk bintang Bayern Munich, David Alaba, lapor akhbar Tabloid sukan The Mirror di United Kingdom.
Pengurus the Blues, Frank Lampard melangkah dalam pasaran pindahan pemain Januari ini untuk merekrut pemain bek pertahanan kiri.
Laporan di Stamford Bridge mendakwa Lampard sudah tidak lagi berpuas hati dengan khidmat dan prestasi Ederson yang didakwa tidak meyakinkannya.
Cesar Azpilicueta bertukar posisi dari bek kanan ke bek kiri pertahanan dan Reece James dimasukkan dalam skuad
Bagi menyuntik pengalaman dalam skuad yang kini berada dalam rombakan pasukan muda itu, Lampard dikatakan mengintai pemain muda dan berpengalaman.
Kini bintang Bundesliga Jerman iaitu Alaba dikenalpasti sebagai pemain paling layak untuk menyertai skuad itu.
Chelsea yakin khidmat pemain itu mampu dimuktamadkan sebelum akhir Januari 2020 ini selepas penggantungan Chelsea dalam pasaran pemain dimansuhkan.
Alaba melakukan 17 penampilan musim ini bersama Bayern Munich dan berjaya menjaringkan satu gol.
Bintang Austria itu menyertai Bayern pada 2008 dan menang 20 gelaran utama bersama kelab itu.
Kontrak Alaba bersama Bayern akan luput pada Jun 2021.
Chelsea sejak pengambilalihan oleh pengurus baharu iaitu bekas pemain kelab itu, mempamerkan aksi tidak menentu setakat ini.
Kelab itu kini mengejar empat teratas liga untuk mengesahkan kelayakan ke kempen Liga Juara-Juara Eropah musim 2020/2021. -MalaysiaGazette