MADRID – Pendahulu La Liga Sepanyol, Barcelona gagal memanfaatkan peluang untuk melebarkan jarak dengan pesaing terdekatnya Real Madrid dalam pemburuan kejuaraan musim ini.
Dalam aksi liga semalam, juara bertahan itu diikat seri 2-2 oleh Espanyol hasil gol Wu Lei.
Espanyol selaku pasukan tuan rumah yang menduduki tangga tercorot carta La Liga mengejutkan pelawat dengan gol awal di babak pertama.
David Lopez membuka jaringan penting itu menerusi tandukan kencang pada minit ke-23 sebelum separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan 1-0.
Lima minit selepas babak kedua bermula, penyerang sensasi the Catalans Luis Suarez menyamakan kedudukan 1-1.
Gol itu terus memberi semangat kepada pasukan pelawat itu sebelum membuka gol kedua menerusi bintang tengahnya, Arturo Vidal sembilan minit kemudian.
Tuan rumah yang ketinggalan 1-2 di belakang pasukan pelawat menyusun strategi dan serangan balas untuk mencari gol penyamaan namun buntu ekoran kekebalan pertahanan Barcelona.
Bagaimanapun pemain Barcelona, Frankie de Jong yang menerima dua kad kuning dalam perlawanan semalam telah diarah keluar padang pada minit ke-75.
Keadaan itu memaksa Barcelona beraksi dengan 10 pemain.
Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Espanyol yang mengatur serangan balas sebelum berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-88 menerusi gol Wu Lei.
Barcelona bagaimanapun kekal di tangga pertama carta liga dengan 40 mata dan begitu juga dengan Real Madrid memungut 40 mata tetapi cuma dibezakan dengan perbezaan jumlah jaringan gol kedua dua pasukan.- MalaysiaGazette