Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Kerajaan Terengganu berharap Menteri Pendidikan yang baharu dapat mengkaji semula cadangan menggabungkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Menteri Besarnya, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri tetap berpandangan proses penggabungan kedua universiti itu adalah suatu yang merugikan dan paling tidak strategik serta tidak mendatangkan apa-apa faedah.

“Bagi kerajaan Terengganu, kita berharap Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) dapat melantik menteri (Pendidikan) secepat mungkin kerana kementerian ini sangat penting dan mencabar.

“Jika sudah dilantik, perkara pertama kita mahu kemukakan ialah meminta menteri baharu ini mengkaji semula keputusan penggabungan UMT dan UniSZA,” katanya di Terengganu, hari ini.

Beliau menjelaskan, tugas Menteri Pendidikan adalah yang paling mencabar sebab bersangkutan dengan tugas dan tanggungjawab serta pemegang taruhnya adalah pelbagai dari kalangan masyarakat.

Katanya, menteri juga bertanggungjawab penuh terhadap anak-anak sekolah rendah, menengah, ibu bapa, persatuan yang berkaitan serta institusi pengajian tinggi (IPT).

“Kerana itu saya mengharapkan Menteri Pendidikan yang akan dilantik ini memahami Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) dan keperluan untuk meletakkan keutamaan dalam DPK.

“Kita mahu menteri memehami dan menjadikan apa yang telah terkandung dalam perlembagaan itu sebagai asas dari segi bahasa Melayunya, dari segi DPK dan lain-lain perkara tanpa menafikan hak kelompok minoriti untuk kebebasan isu pendidikan ini.

“Bagaimanapun, ia haruslah melihat kepetingan umum dan majoriti serta mengelakkan daripada melakukan apa-apa kontroversi,” katanya.

Dr. Ahmad Samsuri berkata, bagi beliau, apa juga dasar yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan, haruslah dilakukan konsentasi, dapat maklumat yang lengkap sebelum diperkenalkan untuk mengurangkan kontroversi dan salah faham di kalangan pemegang taruh.

Ini katanya, antara asasnya dan tidak lagi membuat keputusan satu hala tanpa membuat pertimbangan mendalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast