Carlos Ghosn

TOKYO – Bekas Pengerusi Nissan dan Renault, Carlos Ghosn keluar dari Jepun menggunakan kereta api laju dari Tokyo ke Osaka, dipercayai diiringi oleh beberapa orang.

Jepun masih menuntut Lubnan untuk mengekstradisi Ghosn untuk berdepan dengan pelbagai pertuduhan berhubung penyelewengan kewangan yang dinafikannya, walaupun Lubnan tidak berbuat demikian untuk warga negaranya.

Kamera keselamatan yang merakam gerak geri Ghosn menunjukkan dia keluar dari kediamannya pada 29 Disember lalu, jam 2.30 petang dan beberapa jam kemudian tiba di Stesen Shinagawa, Tokyo.

Dia kemudian mengambil kereta api laju ke Stesen Shin Osaka, Kyodo.

Ghosn menaiki kereta ke sebuah hotel berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai, lokasi dia berlepas dengan sebuah pesawat persendirian pada jam 11.10 malam.

Beliau dilarang meninggalkan Jepun ketika menunggu perbicaraan.

Pendakwa Raya kini sedang bekerjasama dengan polis untuk mengenal pasti individu-individu yang membantunya.

Menteri Keadilan, Masako Mori berkata, Tokyo akan memohon Ghosn diekstradisi walaupun kedua-dua negara tidak ada perjanjian ekstradisi yang formal.

Bagaimanapun, permintaan itu perlu diperiksa dengan teliti berdasarkan kemungkinan “menjamin timbal balik dan undang-undang domestik negara”, kata Mori kepada pemberita di Tokyo.

Menurut sumber kehakiman Lubnan, negara itu masih belum menerima notis rasmi dari Interpol yang meminta penangkapan Ghosn dan tidak akan mengambil sebarang langkah sehingga menerimanya.

Sumber itu memberitahu, notis merah yang diterima pada minggu lalu telah dihantar terus dari Jepun dan bukannya melalui ibu pejabat Interpol di Lyon, Perancis.

“Terdapat pertanyaan di Wiesbaden dan Lyon mengenai kesahihan menghantar notifikasi terus dari Tokyo ke Lubnan tanpa melalui ibu pejabat Interpol,” kata sumber itu, merujuk kepada pejabat Interpol.

Pada masa lalu, jika Lubnan menerima notis merah, suspek tidak akan ditahan tetapi pasportnya akan ditahan dan jaminan akan dikenakan, menurut sumber kehakiman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast