KUALA LUMPUR – Sebuah pusat pelacuran yang menawarkan perkhidmatan seks murah diserbu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semalam.
Dalam serbuan di premis dua tingkat yang terletak di Jalan Hang Kasturi itu seramai 32 warga asing dan dua tempatan ditahan.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, hasil risikan mendapati premis ini dikunjungi pelanggan yang majoriti terdiri daripada warga asing kerana tawaran khidmat seks yang murah iaitu RM30 hingga RM40 bagi tempoh masa 15 minit.
Menurutnnya, Unit Quick Response Team (QRT) JIM menyerbu premis ini pada jam 3.30 petang dengan kekuatan seramai 12 orang pegawai JIM. Semasa serbuan, dua orang lelaki warga tempatan berbangsa Cina yang dipercayai penjaga premis cuba melawan dan mengunci pintu sehingga mencederakan pegawai Imigresen semasa bergelut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, menurut Khairul Dzaimee, cubaan penjaga premis itu untuk menghalang pegawai JIM serta cubaan meloloskan diri oleh wanita-wanita warga asing dan pelanggan berjaya digagalkan.
“Pemeriksaan di premis mendapati pintu, tangga dan bilik telah diubahsuai supaya menjadi lorong melarikan diri dan tempat persembunyian jika diserbu pihak berkuasa. Wanita-wanita asing yang cuba menyorok di ruang rahsia juga berjaya dikesan dan ditahan,” ujarnya.
Dalam serbuan yang sama, seramai 34 orang keseluruhannya berjaya ditahan dan mereka terdiri daripada 15 wanita warga asing iaitu 11 warga India dan empat warga Indonesia.
Turut ditahan 17 lelaki warga asing yang terdiri daripada lima warga Bangladesh, sembilan warga Nepal, dua warga India dan seorang warga Myanmmar yang merupakan pelanggan bagi premis pelacuran yang diserbu.
Selain itu, katanya, dua orang lelaki tempatan yang merupakan penjaga premis tersebut juga ditahan.
“Walaupun premis tersebut sudah beberapa kali telah diserbu oleh pihak berkuasa tetapi penjaga atau pemilik tidak serik dan masih menjalankan aktiviti pelacuran di premis yang sama. Pihak JIM akan memaklumkan kepada agensi bertanggungjawab untuk tindakan lanjut mengikut bidang kuasa masing-masing ke atas premis yang menjalankan aktiviti tidak bermoral ini,” katanya.
Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.
Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.- MalaysiaGazette