KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menafikan laporan bahawa beliau cuba membuka semula pusat ‘anti-terorisme’ yang disokong Arab Saudi yang merupakan antara punca beliau meletakkan jawatan pada 2 Januari lalu.
Malah Maszlee menyifatkan laporan tersebut sebagai fitnah
Menurutnya, semasa beliau menjawat jawatan Menteri Pendidikan tiada perbincangan mengenai King Salman Centre for International Peace (KSCIP) dilakukan.
“Malah apa kaitannya dengan KPM?” katanya dalam akaun Twitter hari ini.
Sebuah portal berita memetik sumber melaporkan bahawa cubaan membuka semula pusat “anti-terorisme” yang disokong Arab Saudi tetap ditutup kerajaan Pakatan Harapan (PH) dikatakan punca Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad memberi kata dua kepada Maszlee.
Menurut laporan itu, sumber yang enggan dinamakan itu mendakwa Perdana Menteri marah apabila mendengar Maszlee di belakang rancangan membuka semula Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP), di samping aduan demi aduan terhadap bekas menteri pendidikan itu dalam mengendalikan portfolionya.
“Itu yang membuatkan Mahathir habis sabar, dan ia berlaku selepas Saudi meminggirkan Sidang Kemuncak KL awal bulan ini, jadi baginya tidak patut sama sekali,” kata sumber itu yang merujuk kepada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur yang dihadiri pimpinan Turki, Iran dan Qatar, dan dibantah Riyadh.
Maszlee berkata, umum boleh semak dengan warga Kementerian Pendidikan segala gerak kerja beliau dan semuanya ada dalam laporan dan direkodkan.
“Ya Tuhan. Berikan saya kekuatan untuk mengharungi fitnah ini. Saya sudah tiada jawatan apa-apa. Saya bukan lagi menteri. Saya hanya rakyat biasa,” tambah beliau.
Berikutan itu, Dr. Maszlee memohon agar fitnah sebegini dihentikan segera dan meminta media menyemak dahulu kesahihan berita sebelum disiarkan. – MalaysiaGazette