BEAUFORT – Barisan Nasional (BN) tidak pernah membantah mana-mana pihak menganjur dan menyambut Hari Krismas khususnya di Sabah.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, BN hanya membantah parti yang menyalahgunakan sambutan Hari Krismas untuk menyogok pengundi.
“Laporan polis bukan nak bantah acara Krismas tapi dalam pilihan raya tidak benarkan cabutan bertuah dan makan-makan besar.
“Kita buat laporan polis sebab mereka langgar undang-undang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Jangan ada sekali lagi PRK Kimanis.
“Tidak benar kita tak benarkan sambutan Krismas,” katanya pada berucap pada Ceramah Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandau malam tadi.
Awal hari ini, Ketua Pemuda UMNO Beaufort, Mohd Fadzil Misdeh membuat laporan polis berhubung pelanggaran pilihan raya oleh Parti Warisan Sabah (Warisan).
Warisan didakwa menganjurkan cabutan bertuah dengan hadiah pelbagai barang berharga dalam sebuah majlis sambutan Hari Krismas di Pekan Membakut, Sabtu lalu.
Antara barangan cabutan bertuah, termasuk motosikal, mesin gergaji, kipas, basikal dan hamper serta menjamu pengundi ketika berkempen.
Dalam pada itu, Abdul Rahman mengingatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar segera menyiasat Warisan yang melanggar Akta Pilihan Raya 1954.
“SPR patut segerakan siasatan jika ada laporan pelanggaran pilihan raya, bukannya beri tekanan kepada pengadu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette