KUALA LUMPUR – Pulau Langkawi telah mula menggunakan adunan biodiesel sebanyak 20% kandungan metil ester sawit atau dikenali sebagai Biodiesel B20 untuk sektor pengangkutan sejak 1 Januari 2020.
Petronas selaku peneraju utama bahan api negara menerusi Stesen Minyak Kampung Tok Senik di Pulau Langkawi menjadi stesen minyak pertama di Malaysia yang menjual Biodiesel B20.
Pulau Labuan akan menjadi destinasi kedua untuk program Biodiesel B20 yang akan dilaksanakan pada bulan Januari ini.
Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, program biodiesel B20 akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat ke negeri Sarawak, Sabah dan akhirnya keseluruhan Semenanjung Malaysia.
Program Biodiesel B20 ini dijangka menggunakan tambahan minyak sawit mentah sebanyak 500,000 tan daripada jumlah sedia ada yang digunakan bagi program Biodiesel B10 pada ketika ini.
Menurutnya, Kerajaan Malaysia bersetuju untuk mengekalkan harga pasaran runcit Biodiesel B20 setara dengan harga pasaran semasa Biodiesel B10 iaitu sebanyak RM2.18 seliter
“Ini bermakna, para pengguna akan dapat menikmati bahanapi kenderaan yang lebih bersih pada kadar harga runcit yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Program Biodiesel B20 ini juga akan menggantikan Biodiesel B10 di pasaran sedia ada secara berfasa sehingga pelaksanaan Biodiesel B20 dicapai sepenuhnya di negara ini.
Penggunaan Biodiesel B20 adalah sejajar dengan hasrat negara bagi mengurangkan kadar pelepasan gas rumah kaca (GHG) dan seterusnya menjadikan negara lebih bersih dan lestari.
Setiap penggunaan satu tan Bbiodiesel dapat mengurangkan sebanyak kira-kira 3 tan gas karbon dioksida (CO2) yang dilepaskan menerusi kenderaan diesel dan dijangkakan sebanyak 3.2 juta tan metrik/tahun gas rumah kaca (GHG) dapat dikurangkan menerusi penggunaan Biodiesel B20 ini.
Dengan peningkatan harga minyak sawit mentah di pasaran dunia yang telah melepasi tahap RM3,000/tan, program Biodiesel B20 ini dapat mengekalkan momentum peningkatan harga dan meningkatkan pendapatan isi rumah para pekebun kecil sawit di negara ini, ujarnya. – MalaysiaGazette