Bekas anggota UTK, Sarjan (B) Nazaruddin @ Sabu kelihatan sebak pada Majlis Penyerahan Surat Jemputan Menunaikan Umrah di Flat PPR Laksamana, Cheras, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 07 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Hanya airmata yang mampu dititiskan oleh bekas anggota Unit Tindakhas (UTK), Sarjan (B) Nazaruddin Mohd. Zin apabila hasratnya untuk menunaikan umrah ‘disahut’ Persatuan Mualaf Malaysia (PMM) hari ini.

Penerima pingat keberanian kedua tertinggi negara, pingat Panglima Gagah Berani (PGB) yang juga dikenali sebagai Sabu, 75, sebelum ini ada menyatakan impiannya untuk ke Makkah.

Kisah beliau menjadi tular setelah dokumentari mengenai dirinya diterbitkan oleh MalaysiaGazette dan ditonton hampir 650,000 kali.

Terpanggil dengan hasrat beliau, Pengerusi PMM, Shila Lama Abdullah dan penasihat persatuan tersebut, Gunawan Abdul Aziz pergi ke rumahnya untuk menyampaikan sendiri jemputan rasmi bagi menunaikan ibadah umrah pada Februari ini.

Pengerusi Yayasan Mualaf Malaysia, Shila Lama Abdullah (dua kanan) beramah mesra bersama bekas anggota UTK, Sarjan (B) Nazaruddin @ Sabu (dua kiri) pada Majlis Penyerahan Surat Jemputan Menunaikan Umrah di Flat PPR Laksamana, Cheras, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 07 JANUARI 2020

” Saya berbangga kerana dapat tajaan pergi ke sana, minta pada Tuhan agar sampailah hajat saya (menyempurnakan ibadah umrah),” katanya menahan sebak ketika menerima kehadiran Shila dan Gunawan di kediamannya di Flat PPR Laksamana di Cheras di sini hari ini.

Sabu menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 1965 sebelum bersara dengan pangkat Sarjan pada 1997.

Selama tempoh tersebut, beliau pernah bertugas sebagai anggota UTK selama 10 tahun dan detektif Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, juga selama 10 tahun sebelum habis tempoh perkhidmatan.

Antara gambar-gambar lama yang disimpan oleh Sarjan (B) Nazaruddin @ Sabu sepanjang bertugas sebagai anggota PDRM. foto HAZROL ZAINAL, 29 DISEMBER 2019.

Beliau diingati kerana pembabitannya secara langsung dengan peristiwa pembebasan tebusan dalam insiden penculikan di Penjara Pudu pada tahun 1986 dan beratus kejadian berbalas tembak dengan penjenayah tegar.

Sepanjang perkhidmatan, beliau pernah cedera parah ditembak di bahagian leher dan retak tulang belakang akibat terjatuh daripada bangunan empat tingkat sewaktu bertugas.

Keberanian luar biasa Sabu membolehkan beliau dikurniakan pingat PGB pada tahun 1986 oleh Yang Di-Pertuan Agong ketika itu, Almarhum Sultan Iskandar.

Pengerusi Yayasan Mualaf Malaysia, Shila Lama Abdullah bercakap pada Majlis Penyerahan Surat Jemputan Menunaikan Umrah di Flat PPR Laksamana, Cheras, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 07 JANUARI 2020

Sementara itu, Shila yang juga bekas model dan pelakon terkenal era 90an berkata, dalam program ‘Road To Mecca 2020’, pihaknya telah menghimpunkan 26 orang mualaf untuk di bawa ke Tanah Suci.

Jelasnya, ia bertujuan untuk memperlengkap diri mualaf terbabit agar boleh menjadi seorang pendakwah sekaligus menjadi tempat rujukan komuniti berkenaan dan masyarakat secara keseluruhannya.

“Kami memilih untuk membawa Sabu kerana sebagai rakyat, kami terhutang budi dengan anggota pasukan keselamatan negara seperti beliau, kita boleh ‘tidur lena’ dengan pengorbanan mereka.

“Ruang ini akan kami gunakan untuk membalas jasa mereka seperti mana jasa Sabu pada kita selama ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Malaysiagazette.com akan menjadi media rasmi ‘Road To Mecca 2020’ untuk membuat liputan sepanjang ahli rombongan menunaikan ibadah di Tanah Suci nanti.

Dua orang petugas Malaysia Gazette akan membuat rakaman sekaligus melaporkan perkembangan aktiviti ahli rombongan selama 12 hari berada di sana. – Malaysia Gazette.