KUALA LUMPUR – Konflik Iran-Amerika Syarikat (AS) diharap tidak akan memberi kesan negatif kepada industri pelancongan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr Noor Zari Hamat berkata, pihaknya akan memantau konflik yang dialami kedua-dua negara itu.

“Impaknya sekarang belum dilihat, buat masa ini kita akan pantau dekat hujung bulan depan mungkin kita tengok. Kita sama berdoa agar perkara itu tidak menjejaskan industri pelancongan negara,”katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas majlis menandatangani jalinan kerjasama di antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Telekom Malaysia Berhad Berhad (TM) hari ini.

Pada hari ini, Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas markas udara yang menempatkan tentera AS dan tentera bersekutu di Iraq bagi membalas dendam kematian komander tertinggi Pasukan Pengawal Revolusi Iran, Qasem Soleimani, dalam serangan dron di Iraq Jumaat lalu.

Noor Zari memberi jaminan kementeriannya akan terus berusaha menarik pelancong Timur Tengah berkunjung ke negara ini dengan melakukan promosi di negara terbabit.

Menurut beliau, kementeriannya  mensasarkan kemasukan 30 juta pelancong pada tahun ini, termasuk pelancong dari Timur Tengah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast