LANGKAWI – Pasukan Team Hollywood semakin menunjukkan belang apabila meraih dua kemenangan berturut-turut pada hari kedua pada Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) Belt & Road di sini hari ini.
Beraksi dengan angin kencang kira-kira 15 knot dari Laut Utara dan lautan bergelora, pasukan dikemudi Ray Roberts itu dilihat sukar untuk ditewaskan apabila terus mengungguli perlumbaan empat dan kelima.
Kemenangan itu menyaksikan pesaing dari Thailand, THA72 ‘buntu’ mencari kemenangan pertama mereka dalam kelas Racing itu.
THA72 yang dikemudi Don Whitcraft menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan keseluruhan 11 jam 24 minit dan 37 saat manakala Team Hollywood unggul memenangi saingan dengan masa 11:22:52s.
Pendahulu hari pertama, pasukan effieConnect pula terperosok di tempat ketiga dengan masa 11:36:08s.
Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Zuhal menerusi jurumudi, Salleh Ahmad hanya menamatkan saingan di tangga terakhir daripada lima pasukan bertanding.
Bagi kelas IRC1, pasukan negara Mata Hari KL Registry menerusi jurumudi, Vincent Chan terpaksa berpuas hati di tempat terakhir dalam kalangan empat pasukan yang diungguli pasukan Char Chan dari Jepun.
Kelas IRC2 menyaksikan pasukan Beihai Zhufen Sailing Team dari China dan Phoenix dari Jepun masing-masing berjaya dalam satu perlumbaan hari ini.
Dalam pada itu, dalam aksi kelas SportsBoats pasukan Malaysia, MSA-MSN tidak berdepan masalah mengungguli dalam kalangan empat pasukan yang beraksi.
Kelas Multihull pula hanya berdepan satu perlumbaan hari ini yang dimenangi oleh pasukan Allegro menerusi jurumudi, Bob McIntyre meninggalkan jurumudi, Gerhard Pils dari pasukan Fetz Ma di tempat kedua. – MalaysiaGazette