KUALA LUMPUR – Stesen televisyen popular, TV3 membuka tirai tahun 2020 dengan Anugerah Juara Lagu 34 dengan tema Warna-Warna Suara yang akan berlangsung pada 9 Februari ini.
Seperti tahun lalu, AJL34 akan bersiaran langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil dengan kehangatan bermula dengan Karpet Merah dan secara strim langsung definisi tinggi (HD) di laman tonton pada pukul 8 malam dan pukul 8.30 malam di TV9.
Seramai 12 finalis akan berentap dengan menyaksikan gabungan hos seperti Haziq Hussni, Sherry Al Hadad dan Awal Ashaari untuk acara berprestij ini.
Penerbit Eksekutif AJL34, Nurhul Huda Khalid, berkata, tema itu dipilih kerana ia menterjemahkan kepelbagaian vokal finalis bertanding.
“Kita hendak tunjukkan dalam dunia nyanyian, suara memainkan peranan penting. Vokal ada pelbagai jenis antaranya tenor, bass dan soprano.
“Kalau kita lihat, finalis mempunyai suara yang berbeza daripada segi julat dan nada.
“Kita juga menekankan daripada sudut visual apabila konsep persembahan, fesyen dan pentas akan lebih berwarna-warni.
“Kalau boleh, kami menggalakkan penonton yang datang ke stadium mengenakan pakaian yang berwarna-warni,” katanya pada sidang media AJL34 di sini, hari ini.
Sementara itu, AJL34 mendapat sokongan McDonald’s selaku penaja utama.
Mulai malam ini, tiket pada harga serendah RM30 untuk menyaksikan AJL34 boleh dibeli di www.myticket.asia.
Senara Finalis AJL34:
Drama (Drama Band/Aepul Roza, Daus SRK, Faeez Ikhwan, Syed Syahmir, Nik Adib)
Ku Bersuara (Ernie Zakri/Syamel, Omar K, Blaine Bakri, John Jeevasingham)
Anta Permana (Bob Yusof/Hael Husaini, Ezra Kong)
Sumpah (Aina Abdul)
Lembah Kesepian (Haqiem Rusli/Haqiem Rusli, Ibnu & Gouffran)
Sumpah (Naim Daniel/Naim Daniel & Omar K)
Peneman (Hazama The Penglipurlara/Tam)
Dinda (Kugiran Masdo/Ali Sariah)
Bangun (Aman RA/Navigator, Aman RA)
Kisah Cinta Kita (Hafiz Suip/Ikhwan Fatanna, Ayden Ali, Datuk A. Aida)
Ragaman (Fairuz Misran/Faizal Tahir, Mike Chan, Romeo,Faizal Tahir, Jaare, Karim Karam, Mike Chan)
Rampas (Akim & The Majistret/Hang Nadim, Laq, Bunga Cantik)
– MalaysiaGazette