KUALA LUMPUR- Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang baharu dijangka diumumkan hujung bulan ini.
Ia bagi menggantikan Datuk Abibullah Samsudin yang ditugas digantung tugas pada pertengahan tahun lalu tamat kontraknya.
Menurut Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar, proses penilaian calon ketua pengarah baharu oleh jawatankuasa penilai kini pada peringkat akhir.
“Kontrak Ketua Pengarah yang lama telah tamat pada 31 Oktober 2019 tetapi kesnya masih berjalan. Ketika ini, beliau sedang mencabar kami di Mahkamah Perusahaan,” katanya semasa sidang media selepas membentangkan Laporan Pencapaian 2019 dan Hala Tuju Strategik Utama 2020 di sini hari ini.
Menurut Mohd. Daud, proses pencarian ketua pengarah baharu dilakukan secara terbuka termasuk kepada orang awam.
Ini bagi memastikan calon yang betul-betul layak dipilih.
“Kami memang membuka peluang kepada orang awam dan juga kakitangan YaPEIM sendiri.
“Malah terdapat sedikit perubahan pada kali ini apabila jawatan ketua pengarah dilantik secara kontrak berbanding jawatan tetap sebelum ini.
“Ini kerana ia selaras dengan amalan syarikat-syarikat besar yang lain apabila ketua eksekutif dilantik secara kontrak supaya syarikat boleh membuat penilaian terhadap prestasi mereka,” katanya lagi.
Abibullah digantung tugas pada Mei tahun lalu bagi membolehkan entiti tersebut menjalankan siasatan dalaman atas dakwaan salah laku.
Meskipun tidak pernah dinyatakan secara rasmi namun dipercayai tindakan tersebut diambil kerana Abibullah didakwa terlibat dengan aktiviti kempen pada pilihan raya umum ke-14 lalu.
Sebelum itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, membuat laporan polis berhubung penularan video seorang lelaki didakwa Abibullah mempengaruhi kakitangan YaPEIM pada PRU lalu.- MalaysiaGazette