Carlos Ghosn. foto Agensi

BEIRUT – Bekas Pengerusi Nissan dan Renault, Carlos Ghosn berkata, keputusan untuk melarikan diri dari Jepun, selepas didakwa dengan salah laku kewangan, adalah yang paling sukar dalam hidupnya.

Bercakap pada persidangan media yang sangat dinanti-nantikan, Ghosn menggambarkan dirinya sebagai “tebusan” di negara itu dengan pilihan antara mati di sana atau lari.

Dia mendakwa, pendakwa raya cuba mematahkan semangatnya dengan tidak membenarkan dia berhubung dengan isterinya, Carole.

Dia melarikan diri ke Lubnan pada 29 Disember.

Dalam bilik sidang media yang penuh sesak dengan wartawan dari seluruh dunia, Ghosn mendakwa layanan yang diberikan Jepun tidak memenuhi standard keadilan antarabangsa.

Di penjara, Ghosn mendakwa, dia ditahan dalam sel dengan tingkap kecil dan hanya dibenarkan mandi dua kali seminggu.
Beliau juga mendakwa telah menghabiskan 130 hari dalam sel tanpa tingkap dan terkurung.

Ghosn berkata, beliau disoal selama lapan jam sehari tanpa ada peguam yang hadir dan menggambarkan “rasa putus asa” yang “mendalam”.

“Saya telah dipecat daripada pekerjaan saya dengan kejam, menjejaskan kerja, keluarga dan rakan-rakan saya,” katanya.

Ini adalah kali pertama Ghosn bercakap secara terbuka sejak melarikan diri daripada tahanan di rumahnya di Jepun.

Namun, dia tidak menceritakan butiran tentang pelariannya yang dramatik, walaupun spekulasi meluas mengenai bagaimana dia berjaya meninggalkan negara itu hingga tidak dapat dikesan.

Difahamkan Ghosn bersembunyi dalam bekas instrumen muzik.

Beliau berkata, mendedahkan lebih banyak maklumat akan menjejaskan individu-individu yang telah membantunya.

Pendakwa raya Jepun dalam satu kenyataan berkata, kritikan Ghosn terhadap sistem keadilan jenayah Jepun benar-benar tidak dapat diterima kerana dia tidak memikul tanggungjawab terhadap penyelewengan yang dilakukannya.

Ghosn sepatutnya menyalahkan diri sendiri kerana ditahan dan dipenjarakan.

Pendakwa raya mendakwa Ghosn telah membuat pembayaran berjuta-juta dolar kepada pengedar Nissan di Oman,

Nissan, dalam pada itu telah memfailkan aduan jenayah terhadap Kgosn yang didakwa memindahkan wang daripada syarikat bagi tujuan peribadi.

Ghosn juga didakwa tidak melaporkan kebenaran tentang gajinnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast