KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad didesak segera memecat Latheefa Koya kerana menunjukkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuhan Malaysia (SPRM) tidak profesional dan tiada intergriti selepas mendedahkan rakaman suara perbualan telefon membabitkan Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.
Ahli Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, Ketua Pesuruhjaya SPRM itu telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar Seksyen 65 Akta suruhanjaya tersebut kerana berkata rakaman suara Najib dan isterinya selain beberapa individu lain sebagai tulen.
Jelasnya, ini kerana hanya polis sahaja boleh mengesahkan kesahihan rakaman itu.
“Latheefa Koya telah dengan sengaja melanggar dan mencabul seksyen 65 Akta SPRM yang melarang pendedahan audio dibuat pada kes yang diluar bidang kuasa SPRM.
“Pendedahan perbualan audio Najib atau Rosmah dan Putera Mahkota Abu Dhabi adalah penyalahgunaan kuasa yang bertentangan dengan Seksyen 65 Akta SPRM. Hanya PDRM yang berautoriti untuk menyiasat kebenaran dan kesahihan audio itu.
“Oleh yang demikian, veteran mendesak Mahathir selaku orang yang bertanggungjawab dengan perlantikan Latheefa Koya supaya memecatnya sebagai Ketua SPRM dengan segera.
“Perlakuan Latheefa Koya terbukti tidak profesional dan menjejaskan integriti SPRM,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam sembilan rakaman suara yang didedahkan SPRM kelmarin, turut diperdengarkan kepada media perbualan di antara Najib dengan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, Pengerusi International Petroleum Investment Co (IPIC), Sheikh Mansour Zayed al Nahyan; Ketua Eksekutif Mubadala Development Company (MDC), Khaldoon Al-Mubarak dan Presiden UAE, Khalifa Zayed bin Sultan Al Nahyan.
Latheefa berkata, perbualan semua individu dalam rakaman suara itu dipercayai berlaku antara 5 Januari hingga 29 Julai 2016 berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd yang diperolehi daripada individu yang tidak boleh didedahkan.
Ujar Mustapha, tindakan Latheefa juga berisiko mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur asing yang merasakan privasi mereka khususnya perbualan telefon mereka tidak selamat.
“Latheefa Koya telah membahayakan hubungan G to G diantara Malaysia dan Abu Dhabi. Sudah pasti keluarga diraja pemerintah Abu Dhabi terheret sama dengan pendedahan Tipah Koya itu apabila Al-Jazeera turut menyiarkan rakaman pendedahan audio tersebut.
“Implikasinya, Malaysia berada di dalam radar dunia sebagai sebuah negara yang tidak selamat didalam perkara yang melibatkan perbualan telefon diantara ketua negara Malaysia dengan ketua-ketua negara lain,” tambahnya.-MalaysiaGazette