Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew menunjukkan laporan polis terhadap Pengerusi NGO Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah berhubung isu harga tapak Bazaria Wangsa Maju di Ibu Pejabat Polis Daerah Setapak, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 11 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Tan Yee Kew mendakwa seramai rata-rata 157 peniaga Uptown Danau Kota membuat laporan polis palsu serta berunsur fitnah terhadapnya kerana termakan hasutan pihak lain.

Beliau mendakwa perbuatan menghasut para peniaga itu dipercayai telah dilakukan oleh Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah.

Malah dakwa pemimpin PKR itu, Mohd Ridzuan juga telah menipu para peniaga kononnya dia akan membantu mereka mendapatkan kembali tapak perniagaan lama di Danau Kota yang kini telah di tutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak 31 Disember lepas.

Dakwanya, para peniaga ini juga terpaksa membayar wang sebanyak RM150 untuk menjadi ahli pertubuhan Ikhlas bagi membolehkan Mohd Ridzuan membantu mereka.

Justeru itu, Yee Kew membuat laporan polis terhadap Mohd Ridzuan di Balai Polis Setapak hari ini selain mengarahkan para peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengerusi Ikhlas itu.

“Pada 5 Januari lepas, saya mendapat tahu seramai 157 orang telah membuat laporan terhadap saya, saya menafikan segala tuduhan yang telah dilontarkan terhadap saya dalam laporan tersebut.

“Semua itu palsu dan tidak benar. Saya telah diberitahu kesemua isi kandungan laporan polis untuk 157 orang itu sama sahaja seperti telah disediakan untuk mereka.

“Saya percaya dan yakin mereka semua membuat laporan itu kerana termakan dengan hasutan yang dilakukan oleh Mohd Ridzuan kepada. Saya mohon kepada semua mengetahui dulu hal sebenar.

“Para peniaga ini juga perlu membayar RM150 untuk menjadi ahli Ikhlas yang sama Mohd Ridzuan telah berjanji untuk bantu para penjaja ini kembali berniaga di tapak lama yang sudah di tutup pada Disember lepas.

“Saya juga dapat tahu melalui Facebook Mohd Ridzuan mendakwa setakat ini dia telah menerima 315 borang keahlian daripada penjaja malah 49 daripadanya sudah membuat bayaran menyertai pertubuhan itu.

“Tawaran yang dibuat oleh Mohd Ridzuan kepada penjaja untuk berniaga semula di tapak lama adalah satu penipuan, semua sudah maklum tempat itu sudah di tutup selamanya, jangan tertipu dengan agenda ini,” katanya kepada pemberita di luar perkarangan Balai Polis Setapak hari ini.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew bercakap selepas membuat laporan polis terhadap Pengerusi NGO Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah berhubung isu harga tapak Bazaria Wangsa Maju di Ibu Pejabat Polis Daerah Setapak, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 11 JANUARI 2020

Pada Oktober tahun lalu, kira-kira 800 peniaga asal Uptown Danau Kota diberikan notis oleh DBKL bagi mengosongkan Jalan Intan Setia, Wangsa Maju yang menjadi tapak asal peniaga bazar ke larut malam itu.

Bagaimanapun para peniaga asal Uptown Danau Kota hanya mula berpindah ke tapak baharu iaitu berhadapan dengan lokasi asal pada pertengahan November tahun lalu.

Menurut notis DBKL itu, bermula 1 Januari 2020, mana-mana peniaga yang masih tidak berpindah masuk ke tapak baharu akan diambil tindakan termasuk menyita peralatan perniagaan mereka.

Yee Kew juga mendakwa perpindahan itu berlaku kerana terdapat aduan secara langsung daripada para penduduk setempat di kawasan itu sejak 12 tahun lepas.

“Perpindahan dan penutupan bazaria ini hanya dapat dilaksanakan selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pada Mei 2018. Selama bertahun-tahun para penduduk membuat aduan namun semua itu hanya dipandang sepi.

“Saya juga dapat tahu tidak semua penjaja yang membuat laporan palsu terhadap saya sebaliknya ada pihak-pihak lain yang tidak ada kena mengena, saya mahu polis menyiasat semua perkara tersebut.

“Kepada para penjaja, tolonglah jangan terus diperdayakan oleh Ikhlas ini. Tempat berniaga di tapak lama sudah ditutup, tidak mungkin anda dapat berniaga lagi di situ,” tegasnya.

Sebelum ini, Mohd Ridzuan menggesa polis menyiasat dakwaan salah guna kuasa berhubung pemindahan kira-kira 800 peniaga Uptown Danau Kota ke tapak baharu yang didakwa bekas tapak loji kumbahan.

Mohd Ridzuan juga mahu pihak berkuasa melakukan siasatan dengan membabitkan Yee Kew kerana didakwa menyebabkan lebih 200 peniaga asal Uptown Danau Kota tercicir daripada pemindahan ke tapak baharu.

“YB (Yee Kew) gagal menangani keadaan sehingga para peniaga-tidak dapat berniaga dan mengalami kerugian yang besar.

“YB juga seperti menggunakan kuasa untuk menekan atau memaksa pemindahan ini dengan menggunakan khidmat polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Sepatutnya keputusan perlu menang-menang,” dakwa Mohd Ridzuan. –MalaysiaGazette

Siasat MP Wangsa Maju, salah guna kuasa Uptown Danau Kota

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast