KUALA LUMPUR – Isu Pas Sementara Sabah (PSS) berkait rapat dengan soal keselamatan Sabah dan tidak boleh diambil mudah.
Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, sekiranya tiada mekanisme dan struktur yang betul pakai bagai menapis pendatang tanpa izin, ia akan membawa kesan yang cukup bahaya untuk Sabah.
“Apa yang saya sentuh dengan PSS ada kaitan rapat dengan keselamatan Sabah. Banyak yang telah dibicarakan dibangkitkan oleh banyak pihak dan ramai juga yang tidak perasan bahawa isu keselamatan itu sesuatu yang telah kita lalui ketika kes Lahad Datu.
“Sebab itu kalau kita tidak ada kaedah untuk tapis dan tidak ada struktur untuk memikirkan perkara yang mungkin berlaku maka ia sudah terlewat… saya bimbang sesuatu keputusan yang tidak diperincikan secara mendalam akan membawa kesan yang cukup bahaya untuk Sabah.
“Jika isu PSS ini begitu hangat dibicarakan di Kimanis ini, ia bermakna keputusan PRK Kimanis ini juga akan membawa suara Sabah secara keseluruhannya,” ujar beliau kepada media selepas berkempen di PDM Kimanis Mandahan, Sabah malam tadi.
Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong itu juga menafikan tuduhan kononnya PSS dimulakan oleh Barisan Nasional (BN).
“Kalau PSS dimulakan oleh BN ini akan membawa kesan negatif dan bantahan orang Sabah pada masa itu… dan kalau dimulakan oleh BN dulu, mengapa hendak dibangkitkan sekarang? Perkara-perkara yang dibangkitkan oleh BN dia tangguh, ubah tapi benda sebegini bila dapat bantahan dia tuduh kita juga.
“‘Mindset’ mereka masih lagi ‘mindset’ pembangkang, sebab itu boleh tuduh kita macam-macam tapi sudah dua tahun perintah takkan itupun nak tuduh kita?
“Dengan hanya membawa Muhyiddin ke sini dan mengatakan ia dimulakan oleh BN, adakah itu akan mempengaruhi rakyat Kimanis dan Sabah? tidak… sebab ini bukan perkara kecil,” bidas beliau.
Sementara itu dalam ucapannya Hishammudin mengimbas kembali di saat rakyat Sabah diselubungi ketakutan ketika isu Lahad Datu.
“Ketika itu keadaan tidak menentu, kita dicerobohi orang luar dan kita ketakutan… mereka amat ganas sekali di bumi Sabah ini. Saya melihat sendiri anggota keselamatan kita dicungkil matanya.
“Bila isu PSS ini dibangkitkan maka saya mahu ingatkan ia berkait rapat dengan soal keselamatan Sabah. Ini bukan soal ‘political mileage’ tapi ini soal keselamatan,” tegas beliau. – MalaysiaGazette