LANGKAWI – Team Hollywood dari Australia menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan kelas Racing pada Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) Belt & Road yang berakhir di sini hari ini.
Pasukan dari Australia itu beraksi cemerlang untuk mengekalkan kejuaraan kali kedua apabila memenangi sembilan daripada 10 perlumbaan yang dipertandingkan sepanjang lima hari kejohanan berlangsung.
Walaupun kemenangan perlumbaan pertama pada hari pertama dibatalkan kerana protes dari pasukan, Team Hollywood yang diterajui jurumudi, Ray Roberts tidak lagi menoleh ke belakang apabila terus cemerlang tanpa sukar dicabar dengan mengutip sembilan mata.
Lebih manis, Roberts meraih kemenangan kelapan secara peribadi buat dirinya sejak 2006 dengan pasukan Evolution Racing, Quantum Racing, dan Ulumulu Quantum Racing.
“Kami terus mengekalkan aksi cemerlang pada hari terakhir walaupun menerima saingan hebat dari pasukan Thailand. Kami bermula agak perlahan berjaya mengejar untuk kembali mendahulu mereka.
“Satu persaingan yang menarik pada kejohanan kali ini sehingga hampir berlaku pelanggaran namun kami tetapi muncul nombor satu.
“Kami akan kembali ke Langkawi untuk belayar selain menyukai makanan di sini dan hospitaliti yang terbaik,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas tamat perlumbaan terakhir.
Team Hollywood mengenepikan cabaran pasukan THA72 dari Thailand yang dikemudikan Don Whitcraft apabila terpaksa akur berada di tempat kedua dengan 20 mata.
Pasukan effieConnect dari Belanda yang membuat kejutan memenangi perlumbaan pertama di tempat ketiga dengan 22 mata.
Dua pasukan lain iaitu, Windsikher dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Zuhal masing-masing kekal di tempat keempat dan terakhir daripada lima pasukan bertanding.
Bagi kelas IRC1, pasukan negara Mata Hari KL Registry menerusi jurumudi, Vincent Chan terpaksa berpuas hati di tempat kedua walaupun memenangi perlumbaan terakhir dalam kalangan empat pasukan yang diungguli pasukan Char Chan dari Jepun selain pasukan Meraki dan Uminoko.
Kelas IRC2 menjadi pasukan Phoenix dari Jepun dan meninggalkan pasukan Beihai Zhufen Sailing Team dari China di tempat kedua meninggalkan The Blue Angel di tempat terakhir.
Dalam pada itu, dalam aksi kelas SportsBoats pasukan Malaysia, MSA-MSN langsung tida dicabar dalam kalangan empat pasukan yang beraksi apabila kekal mendahului dari perlumbaan pertama hingga terakhir dan bukan lawan buat pasukan tiga lagi pasukan negara, Navy 1, UMT dan MY Gadis.
Kelas Multihull pula dimenangi pasukan Fetz Ma menerusi jurumudi, Gerhad Pils meninggalkan pasukan Allegro menerusi jurumudi, Bob McIntyre di tempat kedua.
Kelas Club pula menjadi milik Wind of Change dalam kalangan empat pasukan bertanding manakala kelas White Sail diungguli wakil negara, Dash menewaskan lima pasukan lain.
Sementara itu, majlis penutup RLIR Belt & Road akan dihadiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad malam ini.
Dr Mahathir merupakan penaung Kelab Kapal Layar Diraja Langkawi yang merupakan penganjur kejohanan pelayaran berprestij dunia itu bagi edisi ke-18- MalaysiaGazette