TAIPING – Bandar Taiping mempunyai banyak daya tarikan pelancongan namun beberapa aspek perlu dipertingkatkan terutamanya daripada segi kebersihan dan penyelenggaraan.
Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, Syed Yahya Syed Othman menyatakan kekecewaannya dengan perkara itu.
Katanya, para pengendali pusat pelancongan terbabit perlu memastikan kebersihan dipelihara supaya dapat memberikan keselesaan kepada pengunjung.
“Selepas mengadakan lawatan ke beberapa lokasi ini saya sangat kecewa dengan keadaannya sangat kotor dan ada yang tidak diselenggara dengan baik.
“Tandas kotor, tidak sempurna malah tiada air. Ini sepatutnya menjadi perkara paling asas yang sepatutnya difahami oleh setiap pengendali pusat pelancongan.
“Manakala sampah-sarap juga bersepah dan tidak dikendalikan dengan baik.
“Ini pastinya membuatkan para pengunjung tidak selesa, sayang sekali kerana banyak lokasi pelancongan yang hebat di Taiping yang boleh menarik ramai pelancong tetapi perkara-perkara ini menjejaskan potensi tersebut.
“Kami di Tourism Malaysia bersungguh-sungguh untuk mempromosikan lokasi-lokasi berkenaan tetapi dengan keadaan premis yang kotor dan tidak diselenggara dengan baik, memang mengecewakan, katanya kepada MalaysiaGazette di sini.
Terdahulu, Syed Yahya bersama rombongan ejen pelancongan dan media melawat beberapa lokasi yang dicadangkan untuk dimasukkan dalam pakej pelancongan pendidikan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
Antaranya adalah Kilang Arang My Charcoal Factory, Pusat Pembelajaran Eko-Pelancongan Paya Bakau dan Jeti Nelayan Port Weld. – MalaysiaGazette