KUALA LUMPUR – Indeks FBM KLCI Bursa Malaysia berpotensi besar untuk kembali pulih pada tahun ini, didorong oleh unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih kukuh serta peningkatan pendapatan korporat.

Ketua Pegawai Pelaburan Kenanga Investors Bhd Lee Sook Yee berkata, pelaksanaan aspek pembaharuan dan pelupusan pelaburan bukan teras oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) secara berterusan, juga dapat mempertingkat nilai saham-saham.

Malah, lebih separuh daripada 30 syarikat utama dalam KLCI adalah GLC.

“Kita ada Permodalan Nasional Bhd, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang juga pemegang utama.

“Sejak beberapa tahun lepas, pasaran agak tidak menentu dan usaha pembaharuan GLC itu akan meningkatkan lagi harga saham berikutan pertambahan mudah tunai kaunter-kaunter,” katanya kepada pemberita selepas penyenaraian OneETF di sini, hari ini.

Menurutnya, Indeks KLCI itu juga tidak hanya menggambarkan prestasi pasaran secara menyeluruh.

“Sebagaimana yang kita saksikan pada tahun lepas, walaupun Indeks KLCI itu rendah namun prestasi saham bermodal kecil dan sederhana serta tenaga mencatat prestasi yang baik.

“Oleh itu, penilaian terhadap 30 syarikat utama itu sahaja tidak memberi paparan keadaan ekonomi yang sebenar,” katanya.

Lee berkata bagi tahun ini misalnya, kaunter komoditi serta yang berkaitan Petronas, dijangka mencatat prestasi lebih baik berikutan peningkatan harga minyak sawit mentah dan kini dalam tempoh pengeluaran lebih perlahan manakala prospek Petronas juga kekal cerah.

Terdahulu, Kenanga Investors yang juga anak syarikat Kenanga Investment Bank Bhd telah menyenaraikan OneETF di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.

Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga Investment Bank Bhd Datuk Chay Wai Leong menyifatkan penyenaraian itu sebagai penyertaan pertama syarikat itu dalam Dana Dagangan Bursa (ETF) secara Leveraged & Inverse (L&I).

“ETF Kenanga KLCI Daily 2X Leveraged (KLCI2XL) dan ETF Kenanga KLCI Daily (-1X) Inverse (KLCI1XI) adalah ETF L&l pertama yang ditanda aras berbanding FTSE Bursa KLCI (KLCI) dan merupakan penyenaraian ETF pertama bursa tempatan bagi dekad ini,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua KLCI2XL dan KLCI1XI turut menggunakan strategi pelaburan berasaskan niaga hadapan bagi menyediakan prestasi harian yang diikuti masing-masing.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Muhamad Umar Swift berkata walaupun ETF di Asia Tenggara masih dalam peringkat awal, ia terbukti mendapat sambutan serta menunjukkan potensi pertumbuhan yang besar.

“Pengenalan ETF L&I, terutama sekali OneNetF yang merupakan pertama di KLCI, akan hanya memperkukuhkan lagi bursa tempatan kerana dapat menawarkan pelbagai rangkaian produk inovatif kepada pelabur dalam usaha memenuhi pelbagai selera risiko,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast