Loji jana kuasa nuklear Pickering di timur Toronto. foto Agensi

OTTAWA – Amaran kecemasan mengenai berlaku insiden di loji jana kuasa nuklear di selatan Kanada telah dihantar ke telefon bimbit orang ramai secara tidak sengaja.

Amaran itu berkata kakitangan sedang bertindak terhadap kejadian di Stesen Penjanaan Nuklear Pickering di timur Toronto.

Peringatan kedua dihantar hampir dua jam kemudian mengatakan mesej awal itu merupakan kesilapan.

Setakat ini tidak diketahui punca kesilapan itu berlaku.

Datuk Bandar Pickering, Dave Ryan berkata dia “menuntut siasatan penuh”.

Mesej pertama dihantar pada jam 07.30 waktu tempatan (12:30 GMT) pada hari Ahad dan memberi isyarat kepada penduduk yang berada dalam jarak 10 kilometer dari kemudahan itu.

Amaran itu dilakukan oleh Pusat Operasi Kecemasan Kerajaan Ontario.

Amaran itu berkata: “Satu kejadian telah berlaku di Stesen Penjanaan Nuklear Pickering. TIDAK ada pembebasan radioaktif yang tidak normal dari stesen dan kakitangan kecemasan sedang menangani keadaan. Penduduk yang berdekatan dengan Stesen Penjanaan Nuklear Pickering TIDAK perlu mengambil tindakan perlindungan pada masa ini”.

Ontario Power Generation, yang menjalankan operasi loji itu kemudian berkata, mesej yang dihantar adalah silap dan tidak  ada situasi bahaya kepada orang awam atau alam sekitar.

Amaran kedua pada 9.11 pagi memaklumkan “Tiada situasi nuklear aktif”.

Menerusi Twitter, Ryan berkata: “Seperti ramai di antara kamu, saya sangat bermasalah apabila menerima amaran kecemasan pagi ini. Walaupun saya berasa lega bahawa tidak ada kecemasan yang sebenar, saya kecewa kesilapan seperti ini berlaku.”

Loji itu terletak di tepi Tasik Ontario kira-kira 50 kilometer dari Toronto. Ia mula beroperasi pada tahun 1971 dan merupakan salah satu yang terbesar di dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast